ARTIKEL

Hamden (tengah kiri) dan Jari Kinnunen (dua kanan) menandatangani MoA dan MoU di Joensuu, Finland.

JHS jalin kerjasama antarabangsa dengan Arbonaut Ltd

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) komited memperkukuh kerjasama antarabangsa dengan memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dengan syarikat teknologi hutan dan geospatial terkemuka, Arbonaut Ltd.

Majlis yang berlangsung di Joensuu Science Park, Finland itu turut menyaksikan delegasi Sarawak diwakili enam pegawai JHS yang diketuai oleh Pengarah Hutan, Datuk Hamden Mohammad.

JHS menandatangani MoA dengan Arbonaut Ltd yang dilantik sebagai juruperunding bagi Projek Mengukur Dinamik Struktur Tegakan dan Produktiviti dalam Hutan Semula Jadi dan Hutan Tanaman menggunakan Sistem Penderiaan 3D Udara.

Sehubungan itu, Hamden berkata, pemeteraian MoA dan MoU ini merupakan satu langkah penting bagi JHS dalam memperkukuh strategi kolaborasi antarabangsa.

“Kerjasama ini membuka peluang besar dalam pembangunan teknologi hutan, khususnya bidang karbon untuk menyokong matlamat iklim dan pengurusan hutan secara mampan,” katanya menerusi kenyataan.

Delegasi Sarawak merakam gambar kenangan bersama-sama pasukan Arbonaut Ltd selepas majlis menandatangani MoA dan MoU.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Arbonaut Ltd, Jari Kinnunen pula menegaskan misi syarikat ialah menyediakan penyelesaian inovatif yang mampu menyokong proses membuat keputusan berasaskan data.

Projek kerjasama itu dijangka memberi nilai tambah kepada pengurusan hutan melalui penggunaan teknologi LiDAR 3D bagi menilai struktur hutan, dinamik pertumbuhan serta produktiviti hutan semula jadi dan ladang hutan industri.

Ia juga akan menyediakan parameter inventori hutan yang lebih tepat termasuk ketinggian pokok, isi padu, biojisim, stok karbon serta penilaian risiko kebakaran hutan.

Selain itu, JHS turut memeterai MoU bersama Arbonaut Ltd yang berkuat kuasa selama lima tahun, meliputi penilaian karbon hutan, pembangunan projek dan perdagangan karbon, serta kerjasama penyelidikan dalam bidang biodiversiti, hasil hutan, kebakaran hutan, sains tanah dan patologi.

Terdahulu, pada sesi libat urus sebelah pagi bersama Arbonaut Ltd, Hamden turut membuat pembentangan pengurusan hutan secara mampan di Sarawak serta berkongsi usaha mempromosi hutan negeri ini sebagai tarikan ekopelancongan.

BERITA LAIN

ASEAN perlu perkukuh kesiapsiagaan ancaman biologi

MIRI: Latihan simulasi rentas sempadan ASEAN perlu merangkumi senario ancaman biologi di luar jangkaan bagi menguji kesiapsiagaan negara anggota serta keupayaan agensi berkaitan menyelaraskan tindakan

BERITA TERBARU

ASEAN perlu perkukuh kesiapsiagaan ancaman biologi

MIRI: Latihan simulasi rentas sempadan ASEAN perlu merangkumi senario ancaman biologi di luar jangkaan bagi menguji kesiapsiagaan negara anggota serta keupayaan agensi berkaitan menyelaraskan tindakan