KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) terus membuktikan peranannya sebagai peneraju utama dalam merealisasikan agenda Transformasi Hijau Sarawak melalui pengurusan hutan mampan, inovasi digital dan kerjasama strategik antarabangsa.
Timbalan Premier merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, JHS memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan hijau negeri dilaksanakan secara seimbang antara kemajuan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar.
Katanya, pelaksanaan sistem digital seperti Sistem Pengurusan Maklumat Hutan Perusahaan (EFIMS) dan aplikasi pengesanan tenaga kerja (REVLOG) membuktikan keupayaan jabatan berkenaan memperkukuh pengurusan sumber semula jadi secara telus, efisien dan berintegriti.
“Melalui pendekatan berasaskan teknologi dan data ini, Sarawak menjadi antara negeri peneraju dalam pengurusan hutan secara lestari, seiring dengan agenda pembangunan hijau negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Penghargaan Pesara Jabatan Hutan Sarawak 2025, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kejayaan JHS yang berjaya mempersijilkan 1.6 juta hektar hutan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), melaksanakan lesen karbon hutan pertama di Malaysia serta menanam lebih 50 juta pokok di bawah Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, sekali gus melepasi sasaran lebih awal daripada jangkaan.
Menurutnya, pencapaian tersebut selari dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 (Sarawak Sustainability Blueprint 2030) yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan alam sekitar.
“Justeru, kerjasama strategik JHS dengan institusi antarabangsa seperti Smithsonian Institution, Harvard University dengan National Institute for Environmental Studies (NIES) Jepun turut memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju dalam bidang pengurusan hutan tropika serta mitigasi perubahan iklim di peringkat global,” jelasnya.
Pada majlis sama, Awang Tengah turut menyampaikan penghargaan kepada pesara dan penerima APC sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa, dedikasi dan sumbangan mereka kepada jabatan.
Seramai 89 pegawai dan kakitangan menerima APC, manakala 35 penerima menerima Penghargaan Persaraan.






