KUCHING: Kehadiran warga asing tanpa dokumen sah di beberapa lokasi strategik sekitar bandar raya ini terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu yang berakhir dengan penahanan 43 individu, semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, operasi yang dijalankan dari awal pagi hingga lewat malam pada 6 dan 7 Mei itu memberi tumpuan di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi utama pekerja asing, termasuk jeti pendaratan ikan, tapak pembinaan dan rumah sewa pekerja.

“Tumpuan utama operasi bermula di Jeti Pendaratan Ikan LKIM Tanjong Bako apabila pihak berkuasa mengesan kehadiran beberapa warga asing yang dipercayai telah lama berada dan bekerja di kawasan berkenaan tanpa dokumen sah.
“Pemeriksaan dilakukan bersama dengan pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum beberapa individu ditahan kerana gagal mengemukakan pasport atau permit perjalanan yang sah,” kata kenyataan itu.
Menurut JIM Sarawak, serbuan kemudian diteruskan ke dua tapak pembinaan rumah di Kampung Jaya Bakti dan Kampung Sungai Batu pada sebelah petang. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pekerja asing yang dipercayai bekerja dalam sektor pembinaan tanpa dokumen yang sah.

Katanya, keadaan di lokasi bertukar kecoh apabila pegawai penguat kuasa memeriksa setiap ruang rumah yang masih dalam pembinaan bagi mengesan pekerja yang cuba bersembunyi untuk mengelakkan diri daripada ditahan.
“Pada sebelah malam pula, operasi beralih ke beberapa rumah pekerja dan bilik sewa di Lee Ling Commercial Centre, Pines Square Batu Kawa dan Taman Hui Sing yang dipercayai menjadi penempatan warga asing.

“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuching untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” kata JIM Sarawak.
JIM Sarawak dalam kenyataannya berkata operasi bersepadu seperti ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa.



