SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, mengingatkan barisan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dipilih agar lebih cakna terhadap isu di peringkat akar umbi.
Menurutnya, jangan tunggu aduan penduduk baru hendak bertindak.
“Sebaik-baiknya, ahli JKKK harus proaktif. Anda adalah kelompok yang paling dekat dengan masyarakat.
“Maknanya apa-apa yang berlaku, anda nampak dan dengar, maka tidak perlu apabila ada aduan baru hendak bertindak.
“Kita ambil inisiatif untuk lebih cakna terhadap isu yang berlaku supaya dapat diselesaikan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditanya seusai meluangkan masa mengadakan perjumpaan bersama-sama ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) serta rakan-rakan di Kampung Bunga Raya, malam semalam.
Beliau sangat mengharapkan setiap permasalahan yang dihadapi penduduk dapat diambil tahu oleh JKKK, seterusnya ditangani.
“Jika memerlukan perhatian pihak lebih tinggi, boleh dimajukan kepada saya sendiri,” ujarnya.
Mohamad mengakui sering mengadakan perjumpaan secara santai dengan penduduk di kawasannya bagi merapatkan ukhuwah dan silaturahim.
“Saya dapat mendengar sendiri permasalahan dan mencari penyelesaian secara berhemah untuk apa-apa jua yang disampaikan.
“Seperti hari ini di Kampung Bunga Raya, saya berkesempatan membincangkan tentang pelaksanaan naik taraf sistem perparitan,” tambahnya.
Kampung Bunga Raya, katanya, turut menerima projek di bawah Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) 2024.
Beliau juga menyokong aktiviti penduduk untuk sama-sama belajar berzikir (berzanji), terutama dalam kalangan anak muda.





