KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) bekerjasama dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menghantar bekalan air bersih dan air minuman botol ke kawasan yang dikenal pasti terputus bekalan air akibat bencana banjir.
Timbalan Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam berkata setakat ini jumlah sebenar mangsa yang terjejas belum dapat dikenal pasti secara keseluruhan, namun usaha menghantar bekalan air bersih sudah dimulakan sejak tiga hari lalu.
Menurutnya, antara lokasi utama pembekalan air bersih adalah di Subis memandangkan bencana banjir telah mengakibatkan kawasan tersebut mengalami jalan terputus dan kerosakan pada saluran paip utama air bersih.
“Kita telah bertindak melalui JKMS bersama JBALB untuk mengatasi masalah itu seupaya mungkin.”
“Pasukan kita menerusi JKMS telah menghantar bekalan air minuman botol ke kawasan tersebut manakala JBALB telah membawa tangki air bersih ke kawasan-kawasan yang mengalami terputus saluran paip dan jalan utama di Subis” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sarawak Tahun 2025 di Hotel Imperial, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan petugas JKMS turut berada di lokasi berisiko akibat banjir dan kini sudah menjalankan penugasan secara berterusan selama tiga hari.
“Setakat hari ini (11 Disember) sudah memasuki hari ketiga petugas kita ditempatkan di lapangan untuk mengenal pasti mangsa yang terjejas banjir.”
“Kita juga bekerjasama dengan pihak pejabat daerah bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secepat mungkin di samping mengenal pasti semua yang terjejas akibat banjir tersebut” katanya.
Terdahulu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri mengesahkan berlaku kerosakan pada laluan utama yang menghubungkan Jalan Pan Borneo dan Lebuhraya Pesisir.
Kerosakan itu menyebabkan penduduk di Subis terjejas akibat gangguan bekalan air susulan dilanda banjir kilat.



