KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) kini memantau tiga penyakit utama berkaitan jerebu, termasuk jangkitan saluran pernafasan atas (URTI), asma dan konjunktivitis menerusi 15 fasiliti kesihatan sentinel di seluruh negeri ini.
Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, sejak kemerosotan kualiti udara yang diperhatikan mulai awal Ogos, pemantauan kesihatan menunjukkan sedikit peningkatan melibatkan kes URTI.
Katanya, peningkatan yang lebih ketara dapat dilihat dalam kes konjunktivitis, manakala kes asma secara keseluruhannya kekal stabil di peringkat Sarawak.
Jelasnya, dari Januari hingga akhir Ogos ini, fasiliti sentinel berkenaan merekodkan kira-kira 694,800 kunjungan pesakit, termasuk 64,688 kes URTI dan 6,156 kes asma.
“Purata kes URTI meningkat daripada kira-kira 1,717 kes seminggu pada awal tahun kepada 1,752 kes seminggu dalam beberapa minggu kebelakangan ini, manakala kes konjunktivitis meningkat daripada kira-kira 17 kepada 21 kes seminggu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambahnya, perkara yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan ketara kes jangkitan URTI pada pertengahan Ogos, dengan Zon Selatan merekodkan kira-kira 1,250 kes, Zon Tengah melebihi 1,000 kes, manakala Zon Utara merekodkan kemuncak hampir 400 kes.
“Di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak (HUS), kehadiran pesakit asma turut meningkat pada beberapa hari pada Ogos. Bagaimanapun, pemantauan secara keseluruhan tidak menunjukkan peningkatan berterusan yang ketara dalam kes asma.
“Saya memberi jaminan kepada orang awam bahawa fasiliti kesihatan di Sarawak berada dalam keadaan bersedia. Stok ubat-ubatan penting dan bekalan perubatan semasa, termasuk pelitup muka tiga lapis, pelitup muka N95 serta silinder oksigen, adalah mencukupi berdasarkan penggunaan semasa,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, beliau juga memaklumkan Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta JKNS sedang rapat memantau kesan keadaan jerebu semasa terhadap kesihatan di seluruh Sarawak.
“Kesihatan seluruh rakyat di Sarawak kekal menjadi keutamaan kami. Walaupun terdapat peningkatan dalam beberapa keadaan kesihatan berkaitan jerebu dalam beberapa minggu kebelakangan ini, fasiliti kesihatan Sarawak kekal bersedia dan mempunyai bekalan yang mencukupi untuk menangani situasi semasa,” jelasnya.
Sementara itu, Sim juga menegaskan golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan wanita hamil disaran mengambil langkah berjaga-jaga tambahan susulan kemerosotan kualiti udara.
Selain itu, menurutnya, individu yang mempunyai masalah pernafasan atau kardiovaskular sedia ada, khususnya pesakit asma dan penyakit pernafasan kronik, serta mereka yang bekerja di luar turut dinasihatkan meningkatkan perlindungan diri.
“Justeru, saya menggesa golongan berisiko tinggi ini supaya mengambil langkah berjaga-jaga tambahan apabila kualiti udara merosot,” ujarnya lagi.




