ARTIKEL

JKR Sarawak raih anugerah projek berskala besar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Projek Jambatan Muara Lassa di Bahagian Mukah mengharumkan nama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak apabila memenangi kategori Projek Berskala Besar bernilai lebih RM100 juta pada Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan Jalan 2026.

Menurut kenyataan media JKR Sarawak, anugerah anjuran Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM) itu mengiktiraf projek kejuruteraan jalan raya cemerlang yang dilaksanakan di Malaysia.

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sempena Persidangan dan Pameran Jalan Raya Malaysia Ke-13 serta Kongres Serantau Asia Pasifik Persekutuan Jalan Raya Antarabangsa.

Pencapaian itu turut menyerlahkan prestasi JKR Sarawak apabila empat daripada sembilan projek yang disenarai pendek merupakan projek di bawah jabatan berkenaan.

Selain Jambatan Muara Lassa, projek terbabit ialah Jambatan Marudi, Jambatan Sebauh dan jalan akses ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

JKR Sarawak berkata, kemenangan itu mencerminkan kepakaran teknikal, dedikasi serta kerjasama semua pihak dalam perancangan, reka bentuk dan pembinaan Jambatan Muara Lassa.

Pencapaian berkenaan turut memperkukuh komitmen jabatan itu untuk menyediakan infrastruktur berkualiti bagi meningkatkan kesalinghubungan serta menyokong pembangunan Sarawak.

JKR Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan berterusan, selain mengucapkan tahniah kepada pasukan projek, perunding, kontraktor dan semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan itu.

Pengiktirafan berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada JKR Sarawak untuk terus meningkatkan mutu kejuruteraan dan pelaksanaan projek infrastruktur demi kesejahteraan rakyat.

CAPTION: JKR Sarawak menerima pengiktirafan pada Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan Jalan 2026.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU