BINTULU: Keperluan pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan Tanjong Batu antara perkara dibincangkan dalam kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming kepada Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datuk Dr Cassidy Morris di pejabatnya di Kuching, hari ini.
Pertemuan itu menjadi platform kedua-dua pihak bertukar pandangan berkaitan pembangunan dan kemudahan infrastruktur, khususnya perkara melibatkan kepentingan penduduk di kawasan berkenaan.
Dalam kenyataan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkata, pihaknya sentiasa komited memperkukuh kerjasama dengan wakil rakyat bagi memastikan keperluan infrastruktur rakyat mendapat perhatian sewajarnya dan dilaksanakan secara berkesan.
Kerjasama berterusan antara JKR Sarawak dan wakil rakyat penting dalam mengenal pasti keperluan pembangunan infrastruktur di peringkat kawasan, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik kepada masyarakat.

