KUCHING: JobSarawak telah memberikan sokongan mereka kepada acara ‘Women in STEM’ yang pertama kali dianjurkan oleh Swinburne Sarawak.
Ia diadakan sempena ulang tahun ke-10 deklarasi Hari Wanita dan Gadis dalam Sains Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JobSarawak hari ini, satu sorotan di acara itu adalah sesi panel yang memaparkan beberapa penceramah yang telah meninggalkan kesan dalam bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik).
Mereka khususnya memberikan sumbangan dan sokongan yang signifikan kepada golongan wanita dalam bidang tersebut.
Antara penceramah yang menyertai panel adalah Datin Runi Sylvester Pungga selaku Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan di Jabatan Perhutanan Sarawak, Profesor Dr Ida Fatimawati selaku Timbalan Pro Naib-Canselor di Swinburne Sarawak serta Abdul Najib Azhfar Aini selaku Pengurus Perolehan Bakat di JobSarawak.

Selain itu, wakil dari syarikat terkemuka seperti LONGI Malaysia Sdn Bhd, Sarawak Energy Bhd and Sarawak Digital Economy Corporation turut dipaparkan.
“Usaha yang memperkasakan generasi pemimpin seterusnya, terutamanya mereka dari Sarawak, adalah lebih genting berbanding selama ini pada waktu kita bergerak ke arah negeri maju,” kata Najib.
“Inisiatif ini sejajar dengan misi JobSarawak untuk memperkasakan pencari pekerjaan dan juga majikan dalam usaha membina Sarawak yang lebih mantap, lebih mampan dan saksama menerusi Analitik Data Ketepatan Tinggi dan Model AI.”
Beberapa anugerah, seperti ‘JobSarawak EmpowerHER STEM Excellence Award’, turut disampaikan kepada pelajar siswazah yang cemerlang dalam pencapaian akademik mereka.
Acara ini merupakan salah satu daripada beberapa acara yang diadakan oleh Swinburne Sarawak untuk memberi inspirasi kepada wanita-wanita muda agar meneroka karier dalam STEM selain menggalakkan generasi inovator dan pemimpin seterusnya.
Untuk makluman, JobSarawak merupa platform digital yang dimajukan oleh Kerajaan Sarawak untuk menghubungkan rakyat Sarawak dengan peluang pekerjaan yang ada di seluruh negeri ini.

Ia merupakan sebahagian daripada Pendekatan Transformasi Pekerja Asing, yang fokus kepada usaha membina tenaga kerja tempatan yang mahir selain memupuk pertumbuhan ekonomi seperti yang digariskan di dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
JobSarawak memaparkan pemadanan pekerjaan pintar yang memudahkannya bagi bakat tempatan untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan cita-cita mereka.
Maklumat lanjut tentang JobSarawak boleh didapati di laman sesawang https://job.sarawak.gov.my/info/.

