USAHAWAN, Jofliam, memohon maaf secara terbuka kepada para wanita dan ibu mengandung susulan kenyataannya mengenai bekas isterinya, Cik Epal, yang melahirkan anak mereka menggunakan suntikan epidural semasa proses bersalin.
Menerusi satu hantaran di Instagram, usahawan itu mengakui, selepas membaca semula mesej tersebut dengan tenang, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu ketika membalas mesej peribadi.
“Walaupun apa-apa jua niat, saya juga mengakui bahawa apabila saya membacanya semula dalam situasi saya sekarang ini, dengan lebih tenang, saya tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu dalam mesej peribadi,” katanya.
Tambahnya, isterinya, Dewi, juga bersetuju bahawa kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan kerana beliau turut kecewa dengan responsnya.
“Dewi juga bersetuju, kenyataan itu sepatutnya tidak dikeluarkan kerana dia juga wanita dan terasa dengan respons saya. Apatah lagi wanita-wanita di luar sana yang membaca,” ujarnya.
Justeru, Jofliam memohon maaf sekiranya responsnya empat bulan yang lalu mengecewakan dan merendahkan pengorbanan seorang ibu yang menggunakan epidural.
“Di sini, saya ingin meminta maaf jika respons saya empat bulan lalu telah merendahkan pengorbanan seorang ibu yang menggunakan epidural.
“Saya belajar daripada kesilapan, jika dalam keadaan marah, saya perlu lari daripada menaip dan melayan provokasi,” katanya.



