ARTIKEL

TUN WAN JUNAIDI dan isteri dipersembahkan dengan trofi kemenangan oleh Syakura semasa kunjungan hormatnya di Astana Negeri, hari ini. Foto. UKAS

Johan Qariah Antarabangsa Persembah Trofi Kemenangan Kepada Tun Wan Junaidi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Johan Qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-66 Tahun 1448H/2026M, Nur Syakura Muhamad Musa, mempersembahkan trofi kemenangannya kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam kunjungan hormat di Astana Negeri, di sini, hari ini.

Persembahan trofi tersebut merupakan tanda penghargaan ke atas sokongan dan pengiktirafan kejayaan beliau mengharumkan nama Sarawak di persada antarabangsa.

Kunjungan hormat ke atas Tun Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, itu diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Syakura, yang bertugas sebagai Penyelia Guru al-Quran di Pusat al-Quran Darul Hana, Majlis Islam Sarawak (MIS), meraih gelaran berprestij itu pada pertandingan yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.

Kejayaan tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Sarawak, malah membuktikan kemampuan anak negeri untuk bersaing dan mencapai kecemerlangan dalam bidang tilawah al-Quran di peringkat antarabangsa.

Pencapaian Syakura juga diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk terus mendalami, menghayati dan memperkukuh penguasaan ilmu al-Quran, sekali gus melahirkan lebih ramai qari dan qariah yang mampu mengharumkan nama negeri serta negara.

Tun Wan Junaidi dan isteri turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan berkenaan yang mencerminkan potensi anak Sarawak untuk menyerlah dalam bidang tilawah al-Quran di pentas dunia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU