ARTIKEL

Dr Johnical Rayong Ngipa

Johnical Rayong umum letak semua jawatan dalam PDP

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa mengumumkan keputusan meletakkan jawatan daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) termasuk semua jawatan yang disandang dalam parti itu berkuat kuasa 22 November lalu.

Menurut beliau, keputusan berkenaan dibuat selepas pertimbangan teliti termasuk penilaian secara bebas hala tuju dan masa hadapan politiknya, selain mengambil kira pandangan penyokong serta pengundi.

“Saya ingin mengumumkan secara rasmi keputusan untuk meletakkan jawatan daripada PDP, termasuk semua jawatan yang disandang dalam parti itu, berkuat kuasa 22 November 2026.

“Keputusan ini merupakan satu langkah penting dalam perjalanan politik saya dan dibuat atas pertimbangan sendiri selepas meneliti secara serius pegangan politik, aspirasi masa hadapan serta peranan yang ingin saya teruskan dalam landskap politik Sarawak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Rayong menegaskan keputusan berkenaan tidak bermaksud beliau meninggalkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau menarik diri daripada komitmen aspirasi dan kepentingan politik Sarawak.

Menurutnya, beliau juga mahu kestabilan politik GPS di bawah kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg khususnya di DUN Engkilili terus terpelihara bagi membolehkannya memainkan peranan penting dalam pembangunan kawasan itu pada masa hadapan.

“Komitmen saya terhadap Sarawak kekal tidak berubah meskipun memulakan babak baharu dalam perjalanan politik. Saya akan terus berkhidmat dan menyumbang kepada kepentingan rakyat DUN Engkilili serta rakyat Sarawak secara keseluruhan.

“Saya kekal bersama GPS di bawah kepimpinan Premier bagi terus memperkukuh suara, hak dan kepentingan Sarawak, sekali gus membantu meneruskan pembangunan kawasan Engkilili pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Rayong memaklumkan beliau bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keputusan berkenaan dan berharap ia dapat difahami berdasarkan pendirian politik serta hala tuju masa depannya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan, ahli dan penyokong PDP atas peluang, pengalaman serta hubungan yang terjalin sepanjang pelibatannya dalam parti itu.

Pada PRU DUN Sarawak 2021, Rayong bertanding di bawah Parti Sarawak Bersatu (PSB), sekali gus memenangi kerusi DUN Engkilili dengan 3,246 undi dan majoriti 1,191 undi.

Pada 2024, PSB dibubarkan dan seterusnya menyertai PDP di bawah GPS, sekali gus menyaksikan beliau ketika itu dilantik sebagai Naib Presiden PDP.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU