ARTIKEL

PRU Sarawak Ke-13: Perebutan kerusi uji perpaduan GPS, kepentingan parti bertembung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Di sebalik kekuatan politik Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sering dikaitkan dengan kestabilan dan perpaduan, perebutan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 berpotensi menjadi ujian paling getir.

Kemunculan calon baharu, kemungkinan penyandang digugurkan dan spekulasi penghijrahan ahli politik antara parti bukan lagi sekadar persoalan; siapa bakal bertanding? Sebaliknya, ia membabitkan soal kesetiaan, kepentingan parti dan percaturan kuasa yang boleh mengubah landskap politik negeri.

Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Piasau merangkap penganalisis politik Jaya Ramba berkata perubahan dalam politik tidak seharusnya ditakuti, namun perlu diuruskan secara matang agar tidak mencetuskan pertembungan kepentingan yang boleh menjejaskan perpaduan gabungan.

Menurutnya, penggantian penyandang dengan calon baharu merupakan proses biasa dalam demokrasi, tetapi keputusan sedemikian perlu mengambil kira prestasi, penerimaan masyarakat dan keperluan kawasan, bukannya semata-mata kepentingan individu atau percaturan politik.

“Perubahan boleh membuka pintu pembaharuan, memperkenalkan kepemimpinan baharu dan memberikan peluang kepada generasi yang memiliki pemikiran berbeza.

Namun, perubahan juga boleh mencetuskan perselisihan apabila kepentingan individu, kesetiaan parti dan tuntutan kerusi bertembung dalam satu gelanggang politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, persoalan lebih rumit timbul apabila penyandang yang tidak lagi dicalonkan memilih untuk menyertai parti komponen lain, sekali gus mencetuskan pertindihan tuntutan ke atas kerusi yang pernah diperuntukkan kepada parti asal.

Katanya, kedudukan penyandang tidak seharusnya secara automatik menentukan hak parti ke atas sesuatu kerusi kerana pembahagian kawasan turut berasaskan sejarah persefahaman dan rundingan antara parti komponen.

Dalam konteks itu, Batu Danau, Bekenu dan Pakan antara kawasan yang dikaitkan dengan perbahasan kedudukan tradisional PDP, khususnya apabila sejarah pembahagian kerusi mula dijadikan asas kepada tuntutan politik.

Pertindihan kepentingan antara PDP dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) turut menjadi perhatian apabila Bawang Assan dan Engkilili menjadi perhatian susulan perubahan keanggotaan parti penyandang.

Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing semalam (22 November) dilaporkan meminta pertimbangan kepemimpinan GPS supaya partinya dapat mengekalkan lapan kerusi yang kini dipegangnya.

Perkembangan itu memperlihatkan bahawa rundingan pembahagian kerusi bukan sekadar menentukan calon berpotensi menang, tetapi turut menyentuh kedudukan dan pengaruh setiap parti dalam gabungan berkenaan.

Jaya berkata, sejarah pembahagian kerusi perlu dinilai secara konsisten dan adil, tanpa mengetepikan rekod kemenangan, penerimaan pengundi serta kemampuan calon mempertahankan kawasan masing-masing.

Pada masa yang sama, Parti Rakyat Sarawak (PRS) juga tidak terkecuali daripada perhatian apabila kemungkinan perubahan calon membuka persoalan kesetiaan penyandang dan disiplin organisasi.

Sekiranya terdapat penyandang yang tidak dicalonkan semula tetapi masih berhasrat mempertahankan kawasan masing-masing, keadaan itu berpotensi membuka ruang kepada pertandingan atas tiket parti lain atau sebagai calon bebas.

Bagaimanapun, Jaya mengingatkan bahawa kekecewaan keputusan parti tidak semestinya berakhir dengan penghijrahan atau perpecahan kerana kematangan politik seharusnya terserlah melalui kemampuan menerima keputusan dan menyelesaikan perbezaan secara berhemah.

Beliau turut berpandangan bahawa calon baharu tidak boleh diberikan kelebihan hanya berdasarkan penampilan atau generasi, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan gagasan, rekod perkhidmatan, kefahaman keperluan kawasan dan kemampuan melaksanakan tanggungjawab.

Menurutnya, pengalaman panjang juga bukan jaminan keberkesanan kepemimpinan, sebagaimana kemunculan wajah baharu bukan jaminan perubahan yang dijanjikan.

Justeru, kepemimpinan GPS perlu memastikan rundingan kerusi dilaksanakan secara teliti dan mengambil kira kepentingan semua parti komponen bagi mengelakkan pertikaian dalaman daripada membuka ruang kepada pihak lawan.

“Satu kerusi, dua calon, 1,000 persoalan. Tetapi di sebalik persoalan itu, ada satu hakikat yang tidak harus dilupakan. Kerusi politik bukan pusaka individu, bukan harta parti untuk selama-lamanya, tetapi amanah yang ditentukan melalui suara rakyat,” ujarnya.

BERITA LAIN

Empat juara rebut takhta Muhazis

KUCHING: Empat pasukan terbaik daripada siri Piala Muhazis Empat Penjuru bakal membuat perhitungan bagi merebut gelaran juara keseluruhan Piala Juara-Juara Empat Penjuru Muhazis 2026. Kejohanan

BERITA TERBARU

Empat juara rebut takhta Muhazis

KUCHING: Empat pasukan terbaik daripada siri Piala Muhazis Empat Penjuru bakal membuat perhitungan bagi merebut gelaran juara keseluruhan Piala Juara-Juara Empat Penjuru Muhazis 2026. Kejohanan