BINTULU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming mengakui masih terdapat aspirasi pembangunan yang belum sempat direalisasikan sepanjang lima tahun berkhidmat, namun menyifatkan kepercayaan rakyat yang diterimanya sebagai amanah paling berharga dalam perjalanan tersebut.
Beliau berkata tempoh perkhidmatannya yang berakhir susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 26 Oktober lalu memberi ruang untuk beliau menilai semula pelbagai usaha, cabaran dan pengalaman ketika memperjuangkan keperluan masyarakat di kawasan berkenaan.
Menurutnya, mandat yang diberikan pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-12 pada 18 Disember 2021 merupakan antara penghormatan terbesar dalam hidupnya, sekali gus membawa tanggungjawab untuk mendengar suara rakyat dan mengusahakan pembangunan yang diperlukan.
“23 undi ialah angka yang tidak akan pernah saya lupakan sepanjang hayat.
Di sebalik setiap undi, tersimpan kepercayaan yang amat berharga dan tidak boleh saya khianati,” katanya dalam perkongsian mengenai perjalanan lima tahun perkhidmatannya.
Johnny Pang berkata kemenangan dengan majoriti tipis 23 undi itu sentiasa mengingatkannya bahawa setiap undi membawa kepercayaan rakyat yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Beliau berkata persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan bermula tiga tahun lebih awal apabila beliau bersama-sama pasukannya turun padang menemui penduduk, mendengar permasalahan mereka dan memahami aspirasi masyarakat terhadap pembangunan kawasan.
Menurutnya, berdasarkan kompilasi awal pasukannya, jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan dan komuniti yang dibantu untuk diselaraskan serta diusahakan bagi Bintulu sepanjang tempoh itu dianggarkan melebihi RM100 juta.
Katanya, usaha berkenaan merangkumi pelbagai bidang, termasuk pendidikan, pembangunan komuniti, infrastruktur, institusi keagamaan dan kesihatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa usaha pembangunan itu bukan hasil kerjanya seorang, sebaliknya memerlukan kerjasama jabatan kerajaan, pemimpin masyarakat, pasukan khidmat masyarakat dan penduduk setempat.
Beliau mengakui tidak semua perkara dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun, dengan sebahagian projek telah siap dilaksanakan manakala beberapa lagi masih dalam proses dan memerlukan tindakan susulan.
Walaupun tempoh perkhidmatannya sebagai ADUN telah berakhir, Johnny Pang berkata harapannya untuk melihat Bintulu dan Tanjong Batu terus membangun kekal utuh.
Beliau berharap kawasan berkenaan dapat terus dilengkapi kemudahan awam yang lebih baik, menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan muda serta mewujudkan persekitaran yang selesa untuk warga emas dan generasi akan datang.
Pada PRU Sarawak ke-12, Johnny Pang yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memenangi kerusi DUN N.68 Tanjong Batu dengan majoriti 23 undi selepas memperoleh 4,092 undi.
Beliau menewaskan calon DAP Chiew Chan Yew yang memperoleh 4,069 undi, Andy Yek Hock Siang daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dengan 2,204 undi, Tang Eng Hui daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan 1,071 undi, Chieng Lea Phing daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) dengan 93 undi dan calon Bebas Wong Hau Ming yang memperoleh 38 undi.
Kemenangan itu menamatkan penguasaan DAP selama 20 tahun di kerusi berkenaan.





