BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berharap projek pembinaan jejambat yang menghubungkan Jalan Medan Jaya dan Jalan Tun Hussein Onn dapat disiapkan mengikut jadual pada Jun tahun hadapan.
Beliau berkata, projek tersebut amat penting kerana ia melibatkan laluan utama yang digunakan ribuan penduduk setiap hari serta menjadi nadi perhubungan di bandar Bintulu.

“Saya berharap projek ini dapat disiapkan tepat pada masanya kerana ia memberi impak besar kepada masyarakat setempat. Kita tidak mahu sebarang isu kecil seperti gangguan utiliti menjejaskan jadual kerja,” katanya.
Johnny Pang berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr. Cassidy Morris meninjau perkembangan projek berkenaan di sini, Isnin petang.
Beliau turut memuji pendekatan proaktif pihak JKR Sarawak dalam memastikan projek tersebut dipantau secara rapi dengan laporan perkembangan bulanan, termasuk penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) kecerdasan buatan (AI) dan pasukan dron bagi memantau kemajuan kerja.
“Pemantauan berjadual dan penggunaan teknologi ini memberi keyakinan kepada kita bahawa projek ini akan siap mengikut perancangan. Saya percaya dengan kerjasama erat antara JKR dan kontraktor, manfaatnya akan dinikmati oleh seluruh masyarakat Bintulu,” ujarnya.
Projek pembinaan jejambat Medan Jaya itu dijangka menjadi penyelesaian kepada kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan sebaik sahaja siap kelak.
Terdahulu, Johnny Pang dan Dr. Cassidy diberikan taklimat ringkas berkenaan kemajuan projek pembinaan jejambat oleh wakil syarikat kontraktor yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan projek berkenaan.

