BINTULU: ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming bersedia membantu mencari saluran dan peluang bersesuaian bagi merealisasikan hasrat Persatuan Buddha Wat Buddhakaya Bintulu untuk memiliki kuil sendiri.
Beliau berkata, usaha berkenaan memerlukan perancangan teliti, masa serta kerjasama semua pihak berikutan pelaksanaannya membabitkan pelbagai aspek termasuk urusan tanah, pembiayaan dan pembinaan.
Menurutnya, walaupun impian berkenaan tidak dapat direalisasikan dalam tempoh singkat, langkah ke arah mencapainya perlu dimulakan secara berperingkat dengan komitmen semua pihak berkepentingan.
“Namun, apabila kita berkongsi impian yang sama, kita perlu mencari jalan untuk merealisasikannya langkah demi langkah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama jawatankuasa Persatuan Buddha Wat Buddhakaya Bintulu bagi membincangkan perkembangan semasa serta perancangan masa depan persatuan terbabit di Pejabat Pusat Khidmat DUN Tanjong Batu pada Jumaat.
“Saya akan cuba sedaya upaya mencari saluran dan peluang yang bersesuaian bagi membantu menggerakkan usaha merealisasikan impian ini.
“Selagi semua pihak bersedia bekerjasama, kita akan berusaha mencari jalan terbaik untuk menjadikannya kenyataan,” katanya.
Beliau yakin kesatuan, komitmen dan kesungguhan semua pihak mampu menjadi asas kukuh dalam merealisasikan impian persatuan itu pada masa akan datang.




