BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming bertekad menggalas amanah memperkasa komuniti usahawan wanita di Bintulu selepas dilantik sebagai Penasihat Kehormat Kelab Usahawan Wanita Bintulu (KUWB).
Beliau berkata pelantikan itu bukan sekadar satu penghormatan, malah mencerminkan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk bersama-sama memacu pembangunan keusahawanan wanita di daerah itu.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan.
“Bagi saya, pelantikan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi juga satu amanah yang akan saya laksanakan dengan penuh komitmen.

“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan kepimpinan dan ahli KUWB dalam memperkasa pembangunan usahawan wanita di Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hi-Tea Kelab Usahawan Wanita Bintulu (KUWB) 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Sabtu.
Beliau menegaskan komited menjadi suara dan jambatan yang menghubungkan komuniti usahawan wanita dengan agensi kerajaan serta pihak berkepentingan bagi memastikan lebih banyak peluang pembangunan dan sokongan dapat disalurkan kepada golongan itu.
Beliau berkata lagi, sentiasa bersedia mendengar pandangan, cadangan serta keperluan usahawan wanita, selain membantu mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif agar lebih ramai wanita berani menceburi bidang keusahawanan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Beliau berkata, peranan usahawan wanita semakin penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, bukan sahaja melalui kejayaan perniagaan yang dibina, malah dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup keluarga dan masyarakat.
“Ramai usahawan wanita hari ini menggalas tanggungjawab yang besar sebagai ibu, isteri dan anak, di samping menguruskan perniagaan. Ketabahan dan kesungguhan mereka wajar dihargai kerana kejayaan yang dicapai lahir daripada pengorbanan serta komitmen yang tinggi,” katanya.
Mengulas perkembangan ekonomi negeri, ADUN Tanjong Batu itu berkata usahawan wanita perlu bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi yang semakin dipacu teknologi dan inovasi.
Beliau menggalakkan mereka memanfaatkan platform digital, e-dagang dan penggunaan teknologi baharu bagi meningkatkan produktiviti, memperluaskan pasaran serta memperkukuh daya saing produk tempatan sehingga mampu menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan KUWB sebagai platform strategik yang bukan sahaja menyatukan usahawan wanita daripada pelbagai sektor, malah menjadi medium penting untuk ahli berkongsi pengalaman, membina rangkaian perniagaan dan saling membantu dalam menghadapi cabaran dunia keusahawanan.
Beliau berharap hubungan kerjasama antara KUWB, agensi kerajaan dan sektor swasta akan terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya tahan, berinovasi dan mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Bintulu serta Sarawak.





