KUCHING: Soft Launching Floral Festival yang bermula semalam hingga 8 Oktober menandakan pembukaan rasmi gabungan unik seni flora dan cahaya di Tebingan Kuching, sekali gus memikat perhatian warga kota dan pelancong.
Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), acara ini berlangsung setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam, menampilkan pelbagai instalasi kreatif hasil rekaan pereka landskap tempatan.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman bersama Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah serta pegawai kanan DBKU.
Festival ini diadakan bersempena Kuching Heritage Lights & Flora Festival dengan matlamat memperkukuh imej Kuching sebagai bandar raya indah, kreatif dan berdaya huni, selain menyokong aspirasi DBKU membina komuniti harmoni serta merancakkan sektor pelancongan.
Antara aktiviti menarik termasuk pertandingan mewarna, pocket talk oleh Sarawak Orchid Society (SAROSO), pertunjukan fesyen, demonstrasi seni dan kraftangan, pameran flora serta jualan produk tempatan.
Festival ini dijangka menjadi tumpuan utama hujung minggu dan menarik pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat. – TVS




