ARTIKEL

Jom Meriahkan Pelan Strategik Pertahanan Negara 3 Briged di Telok Melano

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LUNDU: Telok Melano bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi lokasi penganjuran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 3 Briged Tahun 2026, esok hari.

Menurut jurucakap PSPN 3 Briged hari ini, program tersebut membuka peluang kepada orang ramai untuk mendekati aset serta keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, program yang berlangsung di Kilometer 0 Lebuh Raya Pan Borneo Telok Melano itu akan menampilkan pelbagai aset ketenteraan yang dibawa khas untuk tontonan pengunjung.

“Pameran ini memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat dengan lebih dekat peranan dan tahap kesiapsiagaan pasukan pertahanan negara dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.

Menurut jurucakap itu, penganjuran program berkenaan turut dilihat sebagai platform penting untuk merapatkan hubungan antara ATM dengan masyarakat, selain meningkatkan kesedaran awam berkaitan tanggungjawab bersama dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pelbagai kelengkapan dan aset yang digunakan anggota tentera dalam melaksanakan operasi serta tugasan keselamatan di darat, laut dan udara.

“Selain pameran aset, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan bagi memeriahkan program termasuk demonstrasi, pameran statik dan aktiviti mesra keluarga yang sesuai untuk semua peringkat umur.

“Program ini juga menjadi medan untuk memperkenalkan peranan 3 Briged dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara, khususnya di Sarawak yang mempunyai kedudukan strategik dari aspek keselamatan dan kawalan sempadan.

“Melalui pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat, ATM berharap dapat menyemai semangat patriotisme serta meningkatkan penghargaan rakyat dengan pengorbanan anggota keselamatan yang sentiasa bersedia mempertaruhkan nyawa demi negara,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan program yang berlangsung pada 20 Jun ini serta menyaksikan sendiri keupayaan dan kecanggihan aset pertahanan negara yang jarang dipamerkan kepada umum.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU