BANGKOK: Gandingan lari berganti 4×100 meter lelaki negara menghadiahkan pingat perak bermakna pada Sukan SEA apabila mencatat rekod kebangsaan baharu 39.03 saat dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Nasional Suphachalasai, Isnin.
Skuad tuan rumah Thailand menepati ramalan untuk meraih pingat emas dengan catatan 38.28 saat, manakala Indonesia melengkapkan podium menerusi pingat gangsa hasil masa 39.51 saat.
Lebih membanggakan, kuartet negara turut menampilkan atlet Sarawak, Jonathan Nyepa sebagai pelari kedua yang bergandingan bersama Mohd Fahimi Aliff Iman, Hajam Pengiran Aidil Auf dan Muhammad Roslee Danish Iftikhar.
Keempat-empat atlet itu mempamerkan larian terbaik di pentas terbesar sekali gus memadam rekod kebangsaan 39.09 saat yang dicipta pada edisi Sukan SEA 2021 di Vietnam.
Sebagai pelari veteran, Jonathan yang berasal dari Belaga, Bintulu menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil kekuatan mental serta pelaksanaan strategi perlumbaan yang jelas.
“Sebelum perlumbaan, saya berpesan kepada rakan sepasukan supaya tidak memberi Thailand rasa selesa.
“Kami tahu kekuatan mereka, jadi fokus kami adalah pada pelaksanaan sendiri dan memberikan cabaran terbaik,” katanya yang membuat penampilan keenam di temasya dwitahunan itu.
Beliau berkata, pasukan negara bertekad memberi tekanan sejak awal perlumbaan tanpa gentar reputasi pasukan tuan rumah.
Jonathan turut mengakui pingat perak bersama rekod kebangsaan berkenaan hadir sebagai satu kejutan manis, memandangkan pasukan tidak pernah melengkapkan larian penuh pada intensiti sebenar ketika latihan.
“Peluang sentiasa ada dan kami membuat persiapan sebaik mungkin.
“Dalam latihan pun kami tidak benar-benar melakukan larian penuh pada tahap ini, jadi memecahkan rekod kebangsaan pada hari perlumbaan memang sangat istimewa,” katanya.
Walaupun sekadar meraih pingat perak, prestasi itu diyakini menjadi petanda jurang antara Malaysia dan kuasa pecut serantau semakin mengecil.
“Keputusan ini membuktikan kami mampu mencabar sesiapa sahaja apabila semuanya menjadi,” tambahnya.

