ARTIKEL

JPBN Sarawak nafi pembatalan sambutan Maulidur Rasul

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBN) menegaskan pihaknya tidak membatalkan Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1448H/2026M.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, arahan berhubung aktiviti Maulidur Rasul telah dikeluarkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) pada 21 Ogos lalu, yang menyatakan bahawa semua aktiviti luar yang diadakan sempena sambutan berkenaan di seluruh Sarawak tidak dibenarkan berikutan keadaan jerebu semasa serta mengambil kira nasihat berkaitan kesihatan dan keselamatan.

“Bagaimanapun, arahan itu tidak melarang semua aktiviti Maulidur Rasul.

“Majlis Kesyukuran di masjid dan surau masih boleh diadakan, tertakluk kepada keadaan setempat serta nasihat daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

“Sehubungan itu, JPBN menegaskan bahawa sebarang laporan atau dakwaan bahawa JPBN membatalkan sambutan Maulidur Rasul di seluruh Sarawak adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat JPBN Sarawak, hari ini.

Menurut Uggah yang juga Timbalan Premier, JPBN pada 22 Ogos lalu telah mengumumkan pembatalan tiga acara negeri, iaitu Program Sarawakku Sayang yang dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 Ogos 2026 di Mukah.

Selain itu, Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 30 hingga 31 Ogos 2026 di Kapit dan Sambutan 100 Tahun Rumah Mendit Penom, Spaoh yang dijadualkan berlangsung pada 1 September 2026.

Justeru, katanya, JPBN menegaskan semula bahawa segala penilaian dan nasihat yang diberikan adalah berdasarkan data yang tersedia, penilaian teknikal serta rundingan bersama pakar dan agensi yang berkaitan.

“Jawatankuasa itu akan terus memantau keadaan cuaca, paras air empangan dan sumber air, titik panas, jerebu serta perkembangan fenomena El Nino, di samping menyelaras langkah pencegahan dan persediaan kontingensi bersama semua agensi berkaitan serta Pejabat Residen.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU