KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menafikan sekeras-kerasnya hebahan di media sosial yang mendakwa orang ramai boleh mendapatkan lesen memandu tanpa melalui ujian sah.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak, penyebaran yang tular terutama di platform TikTok itu menggunakan gambar pegawai dan anggota jabatan bagi mempromosikan permohonan lesen memandu tanpa ujian, namun ia disahkan tidak benar serta merupakan penyalahgunaan identiti jabatan.
“Sehubungan itu, satu laporan rasmi dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap penyebaran maklumat palsu tersebut.
“JPJ Sarawak menegaskan bahawa semua proses mendapatkan lesen memandu di Malaysia perlu melalui prosedur yang sah, termasuk latihan di institut memandu berdaftar serta lulus ujian teori dan praktikal seperti ditetapkan jabatan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, tiada sebarang jalan pintas atau tawaran khas untuk mendapatkan lesen memandu tanpa melalui proses ditetapkan oleh undang-undang.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran meragukan di media sosial yang menjanjikan kelulusan lesen memandu tanpa ujian kerana ia melanggar undang-undang dan berpotensi menyebabkan orang awam menjadi mangsa penipuan.
Dalam pada itu, JPJ Sarawak turut menggesa orang ramai melaporkan segera akaun media sosial yang menyebarkan maklumat palsu kepada pihak platform atau pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. — TVS






