KOTA SAMARAHAN: Kebimbangan dengan aspek keselamatan motosikal yang digunakan pelajar mendorong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak melaksanakan pemeriksaan khas di sebuah sekolah di bandar ini, semalam.
Dalam operasi yang menggabungkan elemen advokasi dan penguatkuasaan itu, sebanyak 110 motosikal diperiksa bagi memastikan kenderaan yang digunakan oleh pelajar berada dalam keadaan selamat serta mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Menurut jurucakap JPJ Sarawak, pemeriksaan tersebut turut memberi penekanan dalam usaha mendidik pelajar berkaitan kepentingan keselamatan jalan raya selain mengekang penggunaan motosikal yang diubah suai secara tidak sah.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta pengubahsuaian struktur dan peralatan motosikal yang tidak mengikut spesifikasi,” katanya dalam kenyataan.
Tambah jurucakap itu, pendekatan ini bukan semata-mata berbentuk penguatkuasaan, sebaliknya bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar supaya lebih bertanggungjawab dan peka akan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya.
Katanya, golongan pelajar perlu diberikan pendedahan awal berkaitan pematuhan undang-undang trafik bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kemalangan atau melakukan kesalahan jalan raya pada masa hadapan.
“JPJ Sarawak akan terus memperluas program advokasi dan pemeriksaan seperti itu di sekolah-sekolah seluruh negeri sebagai usaha membentuk budaya pengguna jalan raya yang lebih berdisiplin dan berhemah.
“Kerjasama pihak sekolah amat penting bagi memastikan pemeriksaan kenderaan pelajar dapat dijalankan secara berkala demi menjamin keselamatan mereka,” katanya.
JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah yang terlibat atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program berkenaan.


