KUCHING: Dua buah kenderaan mewah iaitu Toyota Alphard dan Mercedes-Benz disita dalam Ops Luxury yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak di sekitar bandar raya ini, semalam.
JPJ Sarawak dalam kenyataan berkata tindakan itu diambil setelah pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans bagi Mercedes-Benz terbabit telah tamat tempoh.
Manakala, katanya, Toyota Alphard berkenaan didapati belum didaftarkan dalam sistem JPJ.

“Pemilikan kenderaan mewah bukan sahaja melambangkan kemampuan, malah menuntut tahap tanggungjawab yang tinggi terhadap pematuhan undang-undang.
“Kenderaan yang bernilai tinggi tetap tertakluk kepada peraturan yang sama seperti pengguna jalan raya yang lain.
“Kegagalan memastikan dokumen kenderaan sah atau menggunakan kenderaan yang tidak didaftarkan boleh mengundang tindakan penguatkuasaan, selain menjejaskan keselamatan dan kepentingan pengguna jalan raya,” katanya.
Justeru, JPJ Sarawak menyeru semua pemilik kenderaan agar sentiasa memastikan pendaftaran kenderaan, LKM serta perlindungan insurans berada dalam keadaan sah sebelum digunakan di jalan raya.

