SARIKEI: Kompleks baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarikei mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya pejabat JPJ di Sarawak yang menyediakan kemudahan kuarters untuk pegawai dan anggota.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata ini menunjukkan kementeriannya cakna dan prihatin dengan kebajikan dan keperluan anggota JPJ di peringkat akar umbi.
“Selain itu, kompleks ini juga mampu menampung lebih ramai pelanggan sehari dengan anggaran 400 orang berbanding sebelum ini 200 orang sahaja.
“Kemudahan yang lebih luas dan selesa ini dijangka dapat mempercepat urusan di kaunter serta meningkatkan tahap kepuasan pelanggan JPJ secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kompleks Pejabat Baharu JPJ Cawangan Sarikei di sini hari ini.
Sehubungan itu, Hasbi turut berkongsi kompleks JPJ baharu tersebut yang berjumlah RM17 juta hasil inisiatif daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia.
“Sehingga kini, penubuhan JPJ Sarikei memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi memenuhi kehendak dan keperluan penduduk setempat seiring dengan peredaran semasa.
“Dengan adanya kemudahan infrastruktur yang lengkap ini, saya percaya ia bukan sahaja memberi keselesaan kepada pegawai dan anggota malah melancarkan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada komuniti setempat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu inisiatif Pelaksanaan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) perlu dikaji dan disesuaikan pelaksanaannya bagi negeri Sarawak.
Jelasnya, ini bertujuan bagi mengurangkan kadar kemalangan maut membabitkan kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam.
Tambahnya, ini kerana infrastruktur jalan raya di Sarawak telah dinaik taraf sebagai lebuh raya Pan Borneo.

