SEMATAN: Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) memperkukuh pembangunan mampan sektor perikanan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif melibatkan pemuliharaan sumber marin, peningkatan keselamatan nelayan serta bantuan berjumlah lebih RM578,000 kepada komuniti perikanan di Sematan.
Pengarah kanannya, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bukan hanya bertujuan meningkatkan hasil tangkapan, tetapi memastikan sumber marin terus terpelihara, komuniti nelayan diperkasakan dan industri perikanan berkembang secara mampan.
“Sektor perikanan bukan sekadar menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara, malah menjadi sumber rezeki ribuan keluarga nelayan serta memainkan peranan penting dalam menjamin keterjaminan bekalan makanan negara.

“Apabila kita bercakap berkaitan pembangunan sektor perikanan, kita sebenarnya sedang bercakap tentang masa depan komuniti pesisir pantai, kelestarian sumber marin dan kesejahteraan generasi akan datang,” katanya pada Majlis Interaksi dan Penyerahan Bantuan Touch Point Nelayan Sematan 2026, di sini, hari ini.
Tambahnya, antara usaha pemuliharaan yang dilaksanakan ialah pelabuhan 35 unit tukun tiruan rekreasi di perairan Sematan pada 2 Julai lalu melibatkan kos RM464,569.
“Projek itu merupakan pelaburan jangka panjang bagi memperkaya habitat marin, menggalakkan pembiakan ikan, meningkatkan biodiversiti serta membantu memulihkan stok sumber perikanan di kawasan berkenaan.
“Tukun tiruan ini turut membuka potensi pembangunan perikanan rekreasi yang mampu menjana pendapatan tambahan kepada komuniti setempat menerusi sektor pelancongan berasaskan sumber marin,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, kejayaan sebenar pembangunan sektor perikanan bukan diukur berdasarkan jumlah bantuan atau projek yang dilaksanakan, sebaliknya apabila nelayan menikmati pendapatan lebih baik, sumber laut terus lestari dan generasi muda melihatnya sebagai sektor yang berpotensi.
Dalam program itu, seramai 40 pengusaha komuniti Sempadi menerima Bantuan Touch Point berjumlah RM40,000 bagi membantu memperkukuh perusahaan, meningkatkan produktiviti serta menjana pendapatan yang lebih baik.
JPLS turut menyalurkan bantuan Program SPeKS Pengembangan di bawah Program myAgropreneur Perikanan berjumlah RM73,442 bagi mempergiat aktiviti pengembangan perikanan di daerah Sematan.
Semua inisiatif tersebut saling melengkapi dalam membentuk ekosistem pembangunan industri perikanan yang lebih mampan, merangkumi aspek pemuliharaan sumber, keselamatan nelayan dan pemerkasaan ekonomi komuniti.



