KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak mencatatkan sebanyak 7,799 tangkapan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2025, meningkat berbanding 7,489 tangkapan pada tempoh yang sama tahun lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, jumlah itu merekodkan pertambahan sebanyak 248 tangkapan atau 3.3 peratus.
“Peningkatan ini sejajar dengan evolusi jenayah narkotik yang kini beralih daripada bahan tradisional seperti candu dan heroin kepada dadah sintetik termasuk syabu, ecstasy, dan magic mushroom, yang lebih berisiko merosakkan kesihatan mental dan fizikal pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan di Padang Kawad IPK Sarawak sekali gus merupakan perhimpunan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 29 September ini.
Mancha menjelaskan bahawa nilai rampasan pelbagai jenis dadah meningkat hampir dua kali ganda kepada RM23.6 juta berbanding RM12 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 menurun kepada 15 tangkapan berbanding 24 tangkapan pada 2024.
“Nilai sitaan harta pengedar dadah meningkat kepada RM15.8 juta berbanding RM3.4 juta tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan sebanyak 363.6 peratus.
“Kejayaan ini hasil daripada risikan berterusan JSJN serta kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah,” jelasnya.
Mancha menambah, JSJN Sarawak baru-baru ini menerima empat kenderaan pacuan empat roda daripada Kerajaan Sarawak bagi memperkukuh operasi di kawasan pedalaman dan sempadan yang mencabar dari segi geografi dan logistik.
Kenderaan ini akan digunakan untuk meningkatkan keupayaan rondaan, pemantauan serta tindakan di kawasan berisiko tinggi, khususnya laluan penyeludupan dan lokasi terpencil.

