ARTIKEL

Pegawai Jabatan Tenaga Kerja Sarawak menjalankan pemeriksaan di premis-premis di Tanjung Manis. Foto JTK Sarawak

JTK Sarawak kesan enam kesalahan majikan di Tanjung Manis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak mengesan enam bentuk ketidakpatuhan terhadap Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) hasil pemeriksaan yang dijalankan di premis-premis majikan di sekitar Pasar Baru Tanjung Manis, baru-baru ini.

JTK Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan majikan mematuhi peruntukan undang-undang buruh serta melindungi hak dan kebajikan pekerja di negeri ini.

Menurut kenyataan itu, pegawai JTK Sarawak turut mengambil kesempatan memberi penerangan kepada majikan mengenai pindaan terkini Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi setiap peruntukan yang ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati masih terdapat majikan yang gagal mematuhi beberapa keperluan di bawah ordinan berkenaan,” katanya kenyataan itu.

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah gagal menyimpan daftar pekerja, gagal menyediakan terma dan syarat perkhidmatan, gagal membayar upah bagi kerja pada hari rehat, gagal memberikan penyata gaji dan elaun kepada pekerja, gagal membayar upah bagi kerja pada hari kelepasan am serta gagal membayar gaji mengikut kaedah pembayaran yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Notis Pelanggaran telah dikeluarkan kepada majikan yang didapati melakukan kesalahan, dengan tempoh 14 hari diberikan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang.

JTK Sarawak menegaskan pihaknya akan terus memperhebat aktiviti pemeriksaan, penguatkuasaan dan advokasi di seluruh negeri bagi meningkatkan tahap pematuhan majikan terhadap Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja terus dipelihara, selain mewujudkan persekitaran pekerjaan yang adil, selamat dan mematuhi undang-undang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU