ARTIKEL

MASJID bukan sekadar tempat solat tetapi ruang orang ramai berkumpul bertegur sapa dan mengeratkan hubungan komuniti.

Juadah percuma erat ukhuwah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SETIAP kali tiba Ramadan, suasana di Masjid Al Ghazali di Jalan Depo berubah menjadi lebih hidup dan bermakna.

Seawal jam 5.30 petang, jemaah mula hadir secara berperingkat-peringkat bagi menunggu waktu berbuka puasa.

Ada yang datang bersamasama keluarga, ada yang bersama-sama rakan sekerja dan tidak kurang juga yang hadir bersendirian.

SETIAP hari, ahli jawatankuasa pengurusan akan memastikan pengagihan makanan berjalan lancar dan teratur, makanan diagihkan dengan penuh adab dan disiplin supaya semua yang hadir menerima bahagian masing-masing tanpa berlaku kesesakan atau pembaziran.

Di sebalik hidangan yang tersusun rapi, terpancar nilai ukhuwah yang semakin mekar dalam kalangan masyarakat setempat.

Program penyediaan juadah berbuka puasa secara percuma di masjid berkenaan kini memasuki tahun keempat penganjuran.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid, Helmi Hipni berkata inisiatif tersebut bermula secara sederhana dengan matlamat untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan kariah serta mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan.

“Pada peringkat awal, kami hanya menyediakan kira-kira 150 juadah sehari. Namun sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Kini jumlahnya meningkat kepada 250 juadah setiap hari dan ada kalanya kehadiran melebihi jumlah yang disediakan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut beliau, peningkatan jumlah jemaah setiap tahun membuktikan masjid berfungsi bukan sahaja sebagai tempat ibadah, malah sebagai pusat pertemuan komuniti.

Setiap hari, ahli jawatankuasa pengurusan akan memastikan pengagihan makanan berjalan lancar dan teratur.

Makanan diagihkan dengan penuh adab dan disiplin supaya semua yang hadir menerima bahagian masing-masing tanpa berlaku kesesakan atau pembaziran.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada pembaziran berlaku.  

Kami sentiasa memantau proses agihan supaya makanan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” jelasnya.

Selain juadah yang ditempah melalui panel katerer, terdapat juga sumbangan makanan daripada kariah yang dihantar menjelang waktu berbuka puasa.

Sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan masyarakat setempat yang mahu bersama-sama menyumbang kepada kelangsungan program berbuka puasa ini.

Dari aspek pembiayaan, Helmi menjelaskan pada dua tahun pertama, kos penyediaan makanan ditanggung sepenuhnya oleh pihak masjid melalui kutipan tabung.

Bermula tahun ketiga, pihak pengurusan mengambil langkah proaktif dengan membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbang sebulan sebelum Ramadan.

“Kami menawarkan peluang kepada individu atau keluarga yang ingin menyumbang, termasuk mereka yang berhajat engadakan majlis tahlil.

Sumbangan yang diterima digunakan untuk penyediaan juadah dan bacaan tahlil akan dilakukan untuk arwah yang dihajatkan,” ujarnya. Kerjasama erat pelbagai pihak turut menjadi faktor kejayaan program ini.

Panel katerer yang dilantik menawarkan kadar harga yang berpatutan, manakala kemudahan seperti khemah dan meja disediakan secara percuma oleh kariah tertentu setiap tahun.

Sokongan tersebut meringankan beban kewangan masjid dan memastikan program dapat diteruskan secara konsisten.

Program berbuka puasa di Masjid Al Ghazali terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang. Selain kariah setempat, musafi r dan individu luar yang singgah di kawasan tersebut turut dialu-alukan untuk berbuka puasa bersama.

Antara yang kerap hadir ialah guru dari Semenanjung yang bertugas di sekitar Kuching dan tinggal bersendirian. Ada juga dalam kalangan mereka yang bertugas jauh dari lokasi masjid seperti di Penrissen dan Simunjan.

Jarak perjalanan dari Simunjan ke Kuching mengambil masa kira-kira satu jam 20 minit dengan anggaran jarak sejauh 85 kilometer.

Walaupun perlu menempuh perjalanan yang agak jauh selepas waktu bekerja, mereka tetap memilih untuk berbuka puasa di Masjid Al Ghazali kerana suasananya yang tenang, tersusun dan penuh semangat kekeluargaan.

AHLI jawatankuasa pengurusan Masjid Al Ghazali mengagihkan juadah berbuka puasa kepada para tetamu secara bufet di Masjid Al-Ghazali, Jalan Depo.

Selain guru, kakitangan awam dan pekerja sektor swasta juga menjadikan masjid berkenaan sebagai lokasi berbuka puasa kerana kemudahannya yang selesa dan pengurusan yang sistematik.

Dalam usaha memupuk perpaduan, pihak masjid turut mempelawa rakan bukan Islam untuk hadir berbuka puasa sebagai simbol keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.

Setiap tahun, satu meja khas diperuntukkan kepada pekerja sebuah pasar raya berhampiran yang majoritinya bukan beragama Islam.

“Inisiatif ini sedikit sebanyak membantu mereka berjimat sepanjang Ramadan dan pada masa sama mengeratkan hubungan antara masyarakat.

Alhamdulillah, hubungan kami dengan pihak pengurusan pasar raya tersebut sangat baik dan mereka sentiasa bersedia membantu jika masjid memerlukan sokongan,” katanya.

PENGURUSAN TAHLIL MUDAH DAN TERATUR

Sementara itu, salah seorang ahli jawatankuasa pengurusan masjid, Abdul Aziz Morshidi yang pada hari tersebut mengadakan majlis tahlil untuk arwah bapanya, Morshidi Salleh, serta adik-beradik bapanya yang telah meninggal dunia, menyifatkan pengurusan tahlil di masjid berkenaan sebagai amat mudah dan teratur.

Menurut beliau, majlis bermula sekitar jam 6.00 petang dengan bacaan tahlil ringkas yang dipimpin oleh imam bertugas sebelum diteruskan dengan penyediaan juadah berbuka puasa kepada para jemaah.

“Secara keseluruhannya, pengurusan masa dan bacaan tahlil amat teliti serta ringkas. Kami tidak perlu membuat persiapan yang rumit kerana pihak masjid menyelaras semuanya dengan baik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sesiapa yang ingin menyumbang boleh terus menyalurkan sedekah kepada pihak masjid.

Sekiranya berhajat mengadakan tahlil, penyumbang hanya perlu menyertakan nama arwah untuk didoakan.

Menurutnya, pendekatan tersebut memudahkan keluarga yang ingin beramal jariah di samping membolehkan lebih ramai jemaah bersama-sama mendoakan kesejahteraan arwah.

Masjid Al Ghazali dibina sebagai tanda ingatan terhadap Allahyarham Tambi Jiee sekeluarga yang terkorban dalam tragedi Malaysia Airlines Penerbangan MH17 pada 17 Julai 2014.

Tragedi tersebut mengorbankan Tambi bersamasama isterinya, Ariza Ghazalee, serta empat anak mereka, iaitu Muhammad Afi f, Muhammad Afzal, Marsha Azmeena, dan Muhammad Afruz.

Masjid bernilai RM3.5 juta itu dibangunkan menggunakan sebahagian wang pampasan yang diterima susulan kehilangan enam sekeluarga tersebut.

Ia dibuka secara rasmi pada 13 Mei 2019 dan kini berperanan sebagai hab pendidikan Islam kepada penduduk setempat. Sejak pembukaannya, pelbagai aktiviti keagamaan dan pendidikan dilaksanakan, termasuk ceramah agama, kelas fardu ain, serta kelas mengaji al-Quran.

Usaha berterusan itu membolehkan masjid berkenaan terus diimarahkan oleh semua lapisan masyarakat.

Kini, setiap kali Ramadan menjelma, Masjid Al Ghazali bukan sekadar menjadi tempat berbuka puasa, tetapi juga simbol kekuatan, kesatuan, dan kasih sayang komuniti.

Di sebalik 250 juadah yang disediakan setiap hari, tersimpan kisah kebersamaan yang menyatukan hati masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Ukhuwah yang terjalin di masjid ini membuktikan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga medan untuk memperkukuh hubungan sesama insan serta menyemai nilai keprihatinan yang berpanjangan dalam kehidupan bermasyarakat.

BERITA LAIN

Pencapaian penulis PUTERA

DALAM konteks perkembangan sastera di Sarawak, Hadiah Sastera Sarawak (HSS) memainkan peranan penting sebagai wadah pengiktirafan terhadap ketekunan, kreativiti dan sumbangan para penulis tempatan. Sebelum

Teknologi rapat jurang kaunseling

DUNIA sedang berubah. Cara manusia bekerja, berkomunikasi dan mendapatkan maklumat turut berubah. Tanpa kita sedari, cara manusia mendapatkan sokongan emosi juga sedang berubah. Telefon pintar,

BERITA TERBARU