KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara lima bulan terhadap seorang wanita atas kesalahan memiliki loteri awam tanpa lesen.
Norzaimi, 37, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Norzaimi didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kedai runcit di Jalan Matang-Batu Kawa, sekitar jam 2.20 petang pada 16 Februari lalu.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan melakukan serbuan di sebuah kedai runcit dan menahan tertuduh yang dipercayai menjalankan aktiviti penjualan loteri awam tanpa lesen.
Pihak polis turut merampas telefon bimbit, wang tunai RM96 milik tertuduh, dan sekeping kertas bertulis angka-angka dipercayai loteri awam tanpa lesen.
Hasil siasatan mendapati laporan pakar judi mengesahkan barang kes yang dirampas adalah loteri awam tanpa lesen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, ASP Arman Ibrahim, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.






