KUCHING: Sebuah syarikat pengimport makanan dijatuhi hukuman denda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret, atas kesalahan menjual produk mengandungi adukan siklamat iaitu pemanis tiruan yang 50 kali ganda manis daripada gula.
Tertuduh merupakan wakil syarikat, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Wan Ali.
Pendakwaan kes mengikut Peraturan 397(1), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan dihukum dibawah Peraturan 397(2), Peraturan yang sama.
Berdasarkan fakta kes, semua sampel produk makanan yang diawet dan dijual syarikat terbabit diambil pada 29 November 2024 dan telah dihantar ke makmal untuk dianalisis.
Hasil analisis mendapati makanan itu mengandungi siklamat iaitu sejenis pemanis tanpa zat yang tidak dibenarkan dalam makanan di bawah Peraturan 133(3) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Peraturan tersebut ialah tiada seorang boleh mengimport, menyediakan atau mengiklankan untuk jualan atau menjual apa-apa makanan yang telah ditambah dengan bahan pemanis tanpa zat kecuali sebagaimana dibenarkan selainnya oleh peraturan terbabit.
Dalam prosiding kes, Pegawai Pendakwa Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Mohd Fairos Ibrahim, memberitahu mahkamah siklamat adalah pemanis tiruan yang sering digunakan dalam makanan dan minuman rendah kalori untuk menggantikan gula.
Dalam hujahnya menegaskan bahawa kemanisan bahan itu adalah 30 hingga 50 kali lebih kuat daripada gula yang menjadi pilihan dalam produk seperti minuman ringan, gula-gula, dan makanan pemanis tanpa gula.
Penggunaan siklamat dalam makanan adalah dikawal ketat dan tidak dibenarkan dalam buah-buahan segar, termasuk yang telah dikupas atau sedia dimakan.
Kesan jangka panjang kepada kesihatan boleh menyebabkan kanser jika diambil secara berlebihan.
Pegawai Pendakwa telah memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Selain daripada itu, ia juga untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan juga pengimport yang lain agar berhati-hati dalam mengimport makanan ke Malaysia dan perlu mengambil langkah yang wajar sebelum sampel diimport masuk.
Mahkamah menjatuhkan hukuman RM3,000 bagi setiap pertuduhan yang dikenakan sekali gus jumlah denda yang perlu dibayar ialah RM9,000.


