PROGRAM Jualan Rahmah (PJR) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak lagi asing dalam kalangan masyarakat masa ini.
Hal ini demikian kerana program tersebut menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa di pasaran setempat.

Antara barangan keperluan harian yang ditawarkan pada harga diskaun adalah ayam, minyak masak, telur, tepung gandum dan sebagainya.
Tidak dinafi kan bahawa program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat kerana ia memberikan manfaat melalui penjimatan harga yang berpatutan.
Walaupun diadakan di premis tertentu dan pembeli perlu beratur untuk mendapatkan barangan keperluan masing-masing, keadaan itu tidak menghalang mereka daripada membeli semasa PJR berlangsung.
Oleh sebab itu, PJR menjadi antara program yang dinanti-nantikan oleh orang ramai, terutamanya semasa musim perayaan kerana pelbagai barangan keperluan ditawarkan pada harga yang menjimatkan.
Perkara ini bermakna bagi mereka yang menjalankan perniagaan kek, biskut dan sebagainya kerana barangan keperluan seperti tepung gandum turut ditawarkan dalam program tersebut.
Begitu juga dengan PJR bergerak yang berkonsepkan ‘kedai mencari rakyat’.
Inisiatif ini sememangnya dilihat sebagai langkah yang baik dan memudahkan rakyat.
Baru-baru ini, PJR bergerak diadakan di salah sebuah kampung di Mukah.
Jarak kampung tersebut ke kawasan pasar agak jauh, mengambil masa sekitar 20 minit.
Program ini sememangnya meringankan beban rakyat di kawasan kampung yang terlibat, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan untuk ke pasar.
Jika PJR hanya diadakan di premis, tentu penduduk yang tinggal jauh dari kawasan pasar tidak sempat berkunjung kerana barangan keperluan yang ditawarkan pada harga rendah sentiasa mendapat sambutan ramai.
Salah seorang pembeli semasa PJR bergerak itu menyuarakan harapan agar program seperti ini kerap diadakan di kawasan Mukah, terutamanya di kawasan kampung.
“Program ini sangat membantu kami yang tidak mempunyai kenderaan seperti kereta.
Jika membeli semasa PJR, kebiasaannya kami membeli dalam jumlah yang banyak sebagai bekalan, apatah lagi harganya jauh lebih murah daripada biasa.
“Jika menggunakan motosikal untuk perjalanan jauh dengan muatan penuh, tentu agak berbahaya.
Kami tidak mengharapkan perkara buruk berlaku, namun risikonya tetap tinggi untuk terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Luahan penduduk kampung ini membuktikan bahawa PJR bergerak mendapat sambutan yang menggalakkan serta memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.
Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk membeli barangan keperluan semasa PJR berlangsung.
Penyertaan penduduk dari kampung berhampiran turut membuktikan bahawa program ini benar-benar mendapat perhatian masyarakat.
Justeru, program yang mendapat sambutan rakyat seperti ini wajar diadakan lebih kerap bagi membantu mereka menghadapi ketidaktentuan ekonomi masa ini.



