MUKAH: Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini, menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai apabila menawarkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Program tersebut dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Mukah dengan sokongan Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib.
Jualan berkenaan diadakan mulai 14 Mac di 99 Speedmart dan diteruskan di Pasar Raya Nam Leong semalam bermula seawal pagi hingga petang atau sehingga stok habis.
Penganjuran program itu bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Selain itu, ia turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan rakyat dapat memperoleh barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan. – TVS

