MATU: Kerajaan Sarawak dan Persekutuan berganding bahu dalam menguruskan bencana banjir yang melanda daerah ini, sambil menasihatkan penduduk agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, setakat ini, sebanyak 15 agensi kerajaan digerakkan bagi memastikan situasi bencana banjir di daerah berkenaan dapat diuruskan dengan sebaik mungkin, sekali gus meminimumkan risiko serta kesulitan yang dihadapi penduduk.
Menurutnya, bencana banjir pada tahun ini berlaku lebih awal daripada kebiasaan berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan paras air dilaporkan menunjukkan trend peningkatan dari semasa ke semasa.
“Keadaan ini menuntut tahap kesiapsiagaan yang lebih tinggi, khususnya dalam kalangan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko tinggi untuk dinaiki air.
“Saya juga menasihatkan penduduk supaya sentiasa mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa serta menjaga keselamatan diri dan keluarga, di samping saling membantu antara satu sama lain ketika berdepan situasi mencabar ini,” katanya kepada media di sini, semalam.
Beliau berkata, penduduk juga perlu sentiasa berhubung dengan pemimpin masyarakat dan pihak keselamatan bagi mendapatkan maklumat terkini serta melaporkan sebarang kemungkinan atau perkembangan.
Pihak agensi kerajaan, katanya, sentiasa bersiap siaga 24 jam bagi membantu menyelesaikan sebarang permasalahan yang dihadapi penduduk sepanjang tempoh bencana ini.
“Segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya diarahkan berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata, kemalangan dan musibah tidak dapat dijangka, justeru langkah pencegahan awal amat penting bagi mengelak risiko lebih besar kepada nyawa dan harta benda.
“Sehubungan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) juga perlu memastikan laluan jalan utama tidak terputus yang boleh menyukarkan pergerakan kenderaan sekali gus memastikan urusan bantuan dan perhubungan penduduk berjalan lancar,” katanya.
Terdahulu beliau melakukan pemantauan di sekitar daerah Matu selepas menghadiri mesyuarat bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

