Juanda mula agih bantuan kepada penduduk Matu terjejas banjir

MUKAH: Penduduk Daerah Matu terjejas banjir pada hari ini menerima bantuan makanan daripada Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya dan Jawatankuasa Bencana Daerah Maru serta agensi kerajaan yang lain.
Jelas Juanda bantuan awal tersebut diharapkan dapat meringankan beban penduduk yang menghadapi bencana banjir pada kali ini.
“Sehingga kini keadaan masih dalam keadaan terkawal meskipun banjir di Matu pada tahun ini agak luar biasa.
“Banjir yang berlaku kini adalah disebabkan oleh faktor pertembungan hujan lebat turun dan keadaan air laut pasang besar,.
“Namun kini air banjir dilihat mula menunjukkan trend menurun,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas penyerahan bantuan hari ini.

Dalam kesempatan itu beliau mengingatkan semua penduduk untuk terus berwaspada dengan keadaan banjir kerana kemungkinan air pasang masih berlaku sehingga Isnin ini.
“Kepada penduduk dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan peka dengan keadaan semasa, dan jika arahan daripada pihak berkuasa untuk berpindah pastikan rumah dikunci dan dokumen penting dibawa bersama.
“Melalui bantuan ini pihak Ketua Kampung, Ketua Masyarakat dan Jawatankuasa Keselamatam dan Kebajikan Kampung (JKKK) akan sentiasa memastikan agihan bantuan sampai kepada semua yang terjejas,” tambahnya lagi.
Selain itu, beliau turut menasihatkan penduduk dalam tempoh pandemik Covid-19 kini, untuk sentiasa patuh kepada garis panduan SOP setelah kawasan terdekat Sibu mencatatkan peningkatan kes positif.
Pada sebelah petang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi bukan kerajaan (NGO) yang lain dijangka turut hadir menyampaikan bantuan
Hadir sama Pegawai Daerah Matu Wan Hipni Wan Mohamad.