KUCHING: Karnival Ulang Tahun ke-10 Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang bermula hari ini di Vivacity Megamall menawarkan aktiviti interaktif dan hiburan kepada peminat serta keluarga sepanjang tiga hari.
Menurut Ketua Penerbitan MLBB Malaysia MOONTON Games, Graws Wen, karnival itu disusun bagi memikat pengunjung pelbagai generasi dengan pengisian yang sesuai bagi golongan muda dan dewasa.
Selain pameran lukisan pelajar yang kebanyakannya dari sekolah menengah, beliau memaklumkan stesen pertempuran lima lawan lima (5v5) turut menjadi tarikan kerana ibu bapa dapat bermain sepasukan dengan anak-anak.
Dalam pada itu, juara MPL Malaysia lima kali, Selangor Red Giants, dijadual beraksi dalam perlawanan persahabatan bersama peminat, manakala Team Saiyan bertemu BTRM dalam perlawanan kompetitif.
Artis tempatan seperti Ara Johari, Ismail Izzani, SonaOne dan Insomniacks turut membuat persembahan, dan meskipun tiket sudah habis dijual, pengunjung yang tiada tiket tetap dialu-alukan ke pusat beli-belah itu seperti dilapor Bernama.



