LUNDU: Program Juh Sungke @ Lundu bakal menghimpunkan masyarakat setempat dalam satu majlis berbuka puasa secara santai dan penuh pengisian pada 7 Mac, Sabtu ini bermula 4.00 petang di Centexs Lundu.
Menurut jurucakap program, penganjuran yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik itu bertujuan mengeratkan silaturahim serta menyemarakkan semangat kebersamaan sempena Ramadan.
Antara pengisian yang disusun termasuk kaunter bayaran zakat fitrah, persembahan nasyid dan busking oleh artis PENTARAMA, pocket talk, tazkirah Ramadan serta penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan anak yatim.
Majlis turut diserikan dengan azan Maghrib, berbuka puasa bersama serta solat Maghrib dan Tarawih secara berjemaah.

Orang ramai digalakkan membawa juadah secara potluck sebagai simbolik semangat perkongsian dan kebersamaan dalam komuniti.
Program berkenaan dijangka dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan; serta ADUN Opar, Billy Sujang.
Penganjuran program seumpama itu dilihat sebagai platform memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai lapisan selain menyemai nilai ihsan dan keprihatinan dalam kalangan komuniti setempat sepanjang Ramadan.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan program dan bersama-sama menyemarakkan bulan yang penuh keberkatan ini.

