ARTIKEL

Jujur guna tandas awam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KETIKA dalam perjalanan dari Sibu minggu lepas, kami singgah di kawasan rehat Betong, bersebelahan stesen minyak Petronas.

Sejak berpindah ke Kuching, seumur hidup saya melalui jalan raya Kuching ke Sibu mungkin dalam 20 kali, dari jalan raya berbatu hingga Lebuh Raya Pan Borneo.

Sepanjang tempoh itu, Pusat Rehat dan Rawat Layar ini menjadi persinggahan utama pengguna jalan raya.

Dibuka pada 2005, pusat rehat ini terkenal dengan keunikan tandasnya yang menyambut pengguna dengan mutiara kata yang dilekat di setiap sudut.

Bukan mutiara kata biasa-biasa tetapi penuh dengan mesej yang berkaitan dengan penggunaan tandas. 

Terbaharu pada Jumaat lepas, kami singgah lagi di sini sebelum meneruskan perjalanan ke Kuching. Setiap kali datang, mutiara katanya berubah-ubah. Masuk ke dalamnya, di kaunter tempat meletak syiling 20 sen untuk bayaran masuk. Saya melihat banyak duit 20 sen disusun melintang, ada juga wang kertas RM1 dan RM5 disusun kemas. Menariknya, duit bayaran diletak tanpa penjaga, namun di belakang meja kuanter – jujurlah… di saat aku tiada di sini.

Ayat itu tertera pada sekeping papan tanda yang bersandar di sudut pintu masuk tandas awam. Saya berdiri seketika, melihat kiri dan kanan, memang tiada penjaga kelihatan di meja bayaran. Tiada juga sesiapa yang memerhati keluar masuk pengguna pada petang itu. Hanya sekeping papan tanda dengan gambar tangan menghulurkan wang syiling kepada tangan yang menerima, seolah-olah menitipkan satu pesanan mudah kepada setiap pengunjung, berlaku jujurlah walaupun tiada siapa yang melihat.

Di sebelahnya pula terpampang kata-kata, tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Ringkas tetapi cukup untuk membuatkan saya berhenti seketika. Pada pandangan pertama, ia mungkin sekadar peringatan untuk menjelaskan bayaran penggunaan tandas. Namun apabila direnung lebih lama, mesej itu sebenarnya lebih besar daripada nilai beberapa keping syiling yang dimasukkan ke dalam kotak bayaran.

Pesanan itu membuat saya memikirkan tentang insan yang jarang mendapat perhatian setiap kali kita menggunakan kemudahan awam — pekerja pembersihan tandas. Kita masuk ke tandas yang bersih, menggunakan kemudahan yang tersedia dan keluar tanpa banyak berfikir. Jarang sekali kita bertanya siapakah yang membersihkan lantai, mengosongkan tong sampah, mencuci singki dan memastikan tempat itu sentiasa selesa digunakan. Kita menikmati hasil kerja mereka setiap hari tetapi jarang mengingati wajah di sebalik usaha tersebut.

Sedangkan hakikatnya, setiap tandas yang bersih menjadi bukti adanya seseorang yang bekerja keras ketika orang lain berehat. Setiap lantai yang kering dan bebas sampah adalah hasil tangan yang mungkin tidak pernah menerima penghargaan sewajarnya daripada masyarakat.

Namun, kejujuran dalam konteks tandas awam bukan sekadar memasukkan wang ke dalam kotak bayaran ketika tiada penjaga di situ. 

Kejujuran juga bermaksud menggunakan kemudahan tersebut dengan penuh tanggungjawab. Tidak membuang tisu merata-rata, tidak meninggalkan botol minuman atau sampah di dalam tandas, tidak menconteng dinding dan tidak merosakkan kemudahan yang disediakan.

Kita sering mengaitkan kejujuran dengan wang dan harta benda, sedangkan nilai itu jauh lebih luas. Seorang pengguna yang membayar penggunaan tandas tetapi meninggalkan tandas dalam keadaan kotor belum tentu memahami sepenuhnya maksud kejujuran terhadap kemudahan awam. 

Sebaliknya, pengguna yang memastikan tandas ditinggalkan dalam keadaan bersih seperti ketika dia menemuinya sebenarnya sedang menunjukkan rasa hormat kepada pengguna seterusnya termasuk hotmat kepada pekerja yang bertanggungjawab menjaganya.

Hakikatnya, tandas awam ruang yang dikongsi bersama. Apa-apa yang kita tinggalkan akan digunakan oleh orang lain selepas kita. Apabila seseorang membuang sampah sesuka hati atau tidak membersihkan kesan penggunaannya sendiri, dia sebenarnya sedang memindahkan tanggungjawab itu kepada orang lain. Lebih malang lagi, beban tersebut akhirnya terletak di bahu pekerja pembersihan yang terpaksa menguruskan kecuaian pengguna.

Pekerja pembersihan tandas sering menjadi golongan yang tidak kelihatan. Mereka bekerja ketika kebanyakan orang sedang menikmati perjalanan, membeli-belah atau berehat bersama keluarga. 

Ada yang memulakan tugas seawal pagi dan ada yang mengakhiri syif lewat malam. Mereka berhadapan dengan pelbagai keadaan yang tidak menyenangkan, namun tetap melaksanakan tugas demi memastikan kemudahan awam berada dalam keadaan terbaik.

Malangnya, penghargaan terhadap mereka sering datang hanya apabila berlaku masalah. Jika tandas kotor, aduan segera dibuat. Jika bekalan air terganggu atau tong sampah penuh, rungutan mudah kedengaran. Tetapi apabila tandas bersih, lantai berkilat dan kemudahan terjaga, jarang ada yang memuji atau sekadar mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Barangkali itulah lumrah pekerjaan yang berkaitan dengan kebersihan. Apabila tugas dilakukan dengan baik, orang menganggapnya sebagai perkara biasa. 

Namun apabila berlaku sedikit kekurangan, perhatian terus tertumpu kepada kelemahan tersebut. Sedangkan di sebalik kebersihan yang dinikmati setiap hari, ada individu yang bekerja keras tanpa mengharapkan pujian.

Saya percaya ramai antara kita pernah menggunakan tandas awam yang sangat bersih sehingga terasa seperti berada di hotel atau pusat beli-belah bertaraf tinggi. Keadaan itu tidak berlaku secara kebetulan. Ia lahir daripada disiplin, dedikasi dan komitmen pekerja yang memastikan setiap sudut dibersihkan mengikut jadual.

Justeru, menghargai mereka tidak semestinya memerlukan majlis khas atau sijil penghargaan. Penghargaan boleh bermula dengan perkara yang paling mudah, iaitu menjadi pengguna yang bertanggungjawab. Pastikan sampah dibuang ke tempat yang betul. Gunakan kemudahan dengan cermat. Jangan merosakkan harta awam. Tinggalkan tandas dalam keadaan yang kita sendiri mahu temui ketika menggunakannya.

Jika setiap pengguna mempunyai kesedaran sedemikian, tugas pekerja pembersihan akan menjadi lebih mudah. Masa yang sepatutnya digunakan untuk membersihkan kekotoran yang disengajakan boleh dimanfaatkan untuk mengekalkan tahap kebersihan yang lebih baik. Akhirnya, semua pihak mendapat manfaat.

Papan tanda yang saya lihat pada hari itu sebenarnya menyampaikan mesej yang cukup mendalam. Jujurlah… di saat aku tiada di sini, bukan sekadar merujuk kepada bayaran yang perlu dimasukkan ke dalam kotak. Ia juga mengingatkan kita supaya jujur terhadap tanggungjawab sebagai pengguna. Jujur menjaga kebersihan. Jujur menghormati kemudahan awam. Dan jujur menghargai usaha orang lain.

Kerana ukuran sebenar kejujuran bukan hanya ketika kita diperhatikan, tetapi ketika tiada sesiapa yang melihat. Ketika kita mempunyai pilihan untuk membuang sampah sesuka hati atau membuangnya ke dalam tong. Ketika kita boleh meninggalkan tandas dalam keadaan kotor atau membersihkannya sekadar yang termampu. Ketika itulah nilai diri seseorang sebenarnya terserlah.

Mungkin papan tanda itu hanya diletakkan untuk mengingatkan orang ramai supaya membayar caj penggunaan tandas. Namun bagi saya, ia membawa pengertian yang jauh lebih besar. Ia mengingatkan bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan penghargaan terhadap pekerja pembersihan bukan hanya melalui kata-kata, tetapi melalui tindakan.

Kerana di sebalik setiap tandas yang bersih, ada insan yang bekerja dalam diam. Mereka mungkin tidak dikenali, tidak disebut namanya dan tidak pernah menjadi tajuk utama. Namun jasa mereka dirasai oleh setiap orang yang melangkah masuk. 

Dan mungkin sebagai masyarakat yang bertamadun, sekurang-kurangnya kita boleh membalas jasa itu dengan satu perkara yang mudah berlaku jujurlah walaupun tiada siapa yang memerhati.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU