KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus menunjukkan penurunan dengan hanya 425 individu ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, di Bahagian Sibu, Dewan SMK Bukit Assek yang sebelum ini menempatkan mangsa banjir ditutup pada jam 7 malam.
“Sementara itu, di Bahagian Bintulu, Dewan Suarah Bintulu masih menempatkan 184 mangsa daripada 53 keluarga.
“Di Sebauh, PPS Balai Raya menempatkan 143 mangsa daripada 50 keluarga, manakala Dewan Sri Kemena SMK Sebauh menempatkan 98 mangsa daripada 30 keluarga,” katanya.
Sekretariat menambah, jumlah keseluruhan PPS yang dibuka kini ialah tiga, menempatkan 133 keluarga dengan jumlah mangsa seramai 425 orang.
Katanya, trend pemindahan mangsa dilaporkan terus menurun, menunjukkan keadaan banjir semakin terkawal di kawasan terlibat.
“Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi arahan keselamatan dan menghubungi talian rasmi jika memerlukan bantuan kecemasan.
“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi pusat kawalan bencana negeri atau mengikuti kemas kini rasmi melalui media sosial kerajaan negeri,” katanya.



