KUCHING: Jumlah keseluruhan Ketua Isi Rumah (KIR) yang berlindung di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sarawak kini meningkat kepada 322 KIR, melibatkan 1,204 mangsa.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, kesemua PPS dibuka untuk menempatkan mangsa dari pelbagai kejadian bencana seperti banjir, tanah runtuh, dan kebakaran.
“Di Bahagian Sibu, keadaan banjir menunjukkan peningkatan dengan pertambahan mangsa di tiga PPS iaitu Dewan Komuniti Sibu Jaya, Dewan Kompleks Sukan Kanowit, dan Dewan Serbaguna Selangau.
“Secara keseluruhannya, jumlah mangsa banjir di Bahagian Sibu adalah sebanyak 352 orang yang melibatkan 119 KIR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, di Kapit, pemindahan mangsa banjir juga meningkat, dengan empat PPS dibuka termasuk Balai Raya Song, Dewan Suarah Kapit, Asrama Belia Kapit, dan Dewan Serbaguna Selangau.
Jumlah mangsa di Bahagian Kapit mencapai 617 orang, yang melibatkan 255 KIR, katanya.
“Justeru, sebanyak tujuh PPS dibuka untuk menempatkan mangsa banjir, dengan jumlah KIR sebanyak 274 dan seramai 969 orang,” tambahnya.
Bagi kejadian tanah runtuh, JPBN menyatakan bahawa dua PPS masih dibuka di Bahagian Sibu dan Bahagian Miri.
Di Sibu, PPS Dewan Masyarakat Kampung Bahagia Jaya terus kekal dengan jumlah mangsa sebanyak 43 orang.
“Di Miri, PPS Dewan Kampung Sukan juga menunjukkan jumlah mangsa yang sama iaitu 40 orang. Keadaan bagi kedua-dua kejadian ini tidak berubah, dan jumlah mangsa di kedua-dua PPS kekal setakat ini,” jelasnya.
Di Bintulu pula, PPS di Gereja St Benard Rh Lapie telah dibuka akibat kejadian kebakaran dan menempatkan 152 mangsa dengan 27 KIR.



