Jurulatih dari Singapura dan Brunei minat bimbing Sarawak

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) tidak akan tergesa-gesa mengambil jurulatih baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Farhan Abdullah.

Menurut Setiausaha Agung FAS, Jefry Lana, buat masa ini Sarawak menggunakan khidmat jurulatih sementara, Mohd Denny Daail.

“Kita akan guna apa yang ada… dan kita ada Denny. Sekarang ini belum ada tindakan lanjut untuk mengambil jurulatih baharu,” kata Jefry kepada Suara Sarawak.

Denny sudah pun menduduki ujian Kejurulatih Lesen A dan hanya menunggu keputusan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sekarang ini skuad Sarawak menjalani latihan seperti biasa, di bawah kendalian Denny, manakala Farhan dan pembantunya, David Usop direhatkan.

GIGIH… Barisan pemain Sarawak menjalani latihan seperti biasa di bawah kendalian jurulatih sementara, Mohd Denny Daail. Foto GHAZALI BUJANG

Menurut Jefry, sekarang ini FAS telah menerima permohonan lima jurulatih yang berminat untuk membimbing pasukan Sarawak.

“Terdapat beberapa calon dari luar yang memohon iaitu dari Singapura, Brunei dan Semenanjung Malaysia.
“Malah ada beberapa lagi jurulatih berkelayakan yang menghubungi saya dan bertanya tentang hal ini,” ujar Jefry.

Bagaimanapun, buat masa ini FAS masih dalam proses penilaian dan penapisan untuk mendapatkan calon terbaik.

Sarawak memerlukan jurulatih berkaliber untuk menyelamatkan pasukan daripada terjerumus ke Liga M3 musim depan. Sarawak kini berada di tangga kedua terbawah setelah kalah empat kali dan hanya menang sekali.

Untuk musim ini, pasukan Sarawak tidak menggunakan khidmat pemain dari Semenanjung Malaysia, sebaliknya hanya menggunakan import tempatan dari Sabah, Bobby Gonazles, serta import dari Indonesia, Brazil dan Bosnia Herzegovina.

Pasukan kali ini dibarisi sebahagian besar tenaga muda yang berusia bawah 25 tahun. Beberapa pemain utama musim lalu menyertai skuad Kuching FA. Misalnya, Hairol Mokhtar, Dzulazlan Ibrahim, Mazwandi Zekeria dan Ramesh Lai Ban Huat.

KEPUTUSAN PERLAWANAN
Sabah (2) Lwn Sarawak (1)
Selangor United (3) Lwn Sarawak (2)
Sarawak (2) Lwn P. Pinang (0)
N. Sembilan (2) Lwn Sarawak (1)
UKM FC (4) Lwn Sarawak (0)
* KEDUDUKAN: Dua tercorot