BAU: Niat seorang jururawat untuk membeli ayam segar pada harga murah menerusi media sosial bertukar mimpi ngeri apabila wang simpanannya berjumlah RM6,770 lesap.
Ketua Polis Daerah Bau, Pemangku Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, mangsa berusia 49 tahun itu tertarik dengan iklan jualan Ayam Fresh Premium di Facebook sebelum menghubungi nombor telefon yang tertera menerusi aplikasi WhatsApp.
Mangsa pada mulanya diminta membuat pembayaran RM5 melalui pautan yang diberikan, namun transaksi tersebut gagal.
“Susulan itu, suspek mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi dikenali sebagai Delivery4U dan mengemas kini kaedah pembayaran secara tunai semasa penghantaran (COD) bagi meneruskan urusan pembelian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tidak lama kemudian, mangsa menerima mesej daripada pihak bank yang memaklumkan akaunnya disekat sementara.
Hasil semakan mendapati wang simpanannya berjumlah RM6,770 telah dipindahkan ke sebuah akaun Affin Islamic Bank milik individu lain tanpa kebenarannya.
Mangsa tidak menerima ayam yang dipesan dan gagal menghubungi suspek sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mohd Haide berkata, mangsa turut menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 sejurus menyedari wangnya dipindahkan, sambil menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran jualan dalam talian pada harga terlalu murah serta tidak memuat turun aplikasi daripada sumber yang tidak dikenali.



