KUCHING: Seorang jurusolek lelaki dihadap ke Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan mencabul seorang pengantin lelaki semasa memasang pakaian pengantin dalam sebuah bilik perkhidmatan pangsapuri, pada 31 Januari lalu.
Tertuduh berusia 24 tahun itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa lelaki berusia 30 tahun dengan niat mencabul kehormatan, dengan cara memegang dan hendak menghisap kemaluan mangsa.
Dia melakukan kesalahan itu dalam sebuah bilik perkhidmatan pangsapuri di Jalan Wan Alwi, sekitar jam 5.40 pagi, 31 Januari lepas.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda atau sebatan atau mana-mana berkaitan, jika disabit bersalah.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly menawarkan ikat jamin tunai RM5,000 dengan dua penjamin tempatan.
Namun, Peguambela Abdul Rahman Mohamad Hazmi yang mewakili tertuduh memohon dikurangkan jaminan kerana tertuduh bersedia memberikan kerjasama sepanjang perbicaraan kes dan berjanji tidak akan melarikan diri.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin tunai RM2,500 beserta dua penjamin tempatan.
Selain itu, mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 6 Mac depan.
Difahamkan, tertuduh telah diupah oleh pengadu sebagai jurusolek majlis persandingan yang dijadualkan pada 31 Januari lepas.
Kakak pengadu telah menempah sebuah bilik pangsapuri untuk adiknya bersiap dan berhias.
Difahamkan juga, semasa kejadian, tertuduh membetul dan memasang pakaian pengantin tiba-tiba menarik seluar dalam pengadu lalu memegang dan cuba menghidap kemaluan pengadu.
Pengadu yang menyedari perbuatan tersebut bertindak menepis dan menolak tertuduh seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Tangkapan dilakukan terhadap tertuduh pada hari yang sama kejadian beberapa jam kemudian.

