Jurutera dan buruh Pan Borneo ditangkap kerana dadah

KUCHING: Seorang jurutera dan seorang buruh, yang kedua-duaya bekerja di tapak Pan Borneo dicekup polis kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Jurutera lelaki berusia 31 tahun dan sudah berkahwin itu berasal dari Kampung Trusan Jaya, Sematan manakala buruh lelaki berusia 28 tahun yang juga sudah berkahwin berasal dari Kampung Tanah Hitam, Sematan.

Kedua-duanya ditangkap dalam Operasi Sulit yang dijalankan pasukan operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak pada lebih kurang jam 11.45 pagi tadi.

Menurut Ketua JSJN Sarawak Superintendan Sahar Abd Latif, suspek pertama yang merupakan seorang jurutera ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pueh, Sematan dan hasil pemeriksaan menjumpai dadah jenis syabu seberat 31.15 gram yang dianggarkan bernilai RM4,500.

“Suspek dipercayai mula menjalankan kegiatan pengedaran dadah pada akhir tahun 2018 di sekitar kawasan Sematan dan Lundu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala, Sahar berkata suspek kedua ditangkap semasa dia datang ke rumah suspek pertama untuk membeli bekalan dadah.

Katanya kedua-duanya yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau juga didapati positif dadah jenis syabu serta amfetamin dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Beliau menambah mereka kini ditahan di Balai Polis Lundu dan sedang dalam proses permohonan reman.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan juga tidak kurang daripada 10 sebatan.

Suara Sarawak