ARTIKEL

Jurutera ditipu jual Hilux, diminta bayar tambahan selepas deposit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Seorang jurutera mekanikal mengalami kerugian RM4,217.87 selepas diperdaya membayar deposit, cukai jalan dan insurans bagi pembelian sebuah Toyota Hilux yang diiklankan menerusi Facebook Marketplace.

Mangsa, 49, yang bekerja di sebuah syarikat di Balingian tertarik dengan iklan jualan Toyota Hilux 2.4 V (A) Dual Cab pada harga RM66,800.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa kemudian berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Elvis’ menerusi aplikasi WhatsApp bagi urusan pembelian kenderaan berkenaan.

“Mangsa membuat bayaran sebanyak RM1,500 pada 20 Oktober lalu sebelum sekali lagi membayar RM2,717.87 ke dua akaun bank berbeza pada 21 Oktober.

“Jumlah keseluruhan kerugian mangsa ialah RM4,217.87,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Pada 22 Oktober, suspek sekali lagi meminta mangsa membuat bayaran tambahan atas alasan terdapat kesilapan pada resit pembayaran terdahulu.

Mangsa yang mula mengesyaki dirinya ditipu kemudian hadir ke balai polis untuk membuat laporan bagi tindakan lanjut.

Rizal berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Semakan awal mendapati nombor telefon yang digunakan suspek serta salah satu akaun bank yang terlibat mempunyai rekod laporan polis terdahulu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta mengesan aliran wang yang terlibat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran jualan kenderaan di media sosial, khususnya jika harganya jauh lebih rendah daripada harga pasaran atau penjual meminta bayaran pendahuluan ke akaun individu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi serta tidak menyerahkan dokumen peribadi atau membuat bayaran tanpa memastikan kesahihan pihak penjual.

“Mangsa penipuan dalam talian dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan membuat laporan polis.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian juga boleh disalurkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU