KUCHING: Suspek dalam kejadian yang menyebabkan seorang guru wanita cedera di sebuah sekolah swasta di sini masih menerima rawatan di hospital, manakala polis merakam percakapan 24 individu bagi membantu siasatan kes itu.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, individu yang dirakam percakapan mereka termasuk mangsa, ibu bapa suspek, pemandu keluarga, pegawai perubatan, pihak sekolah dan pelajar.
Menurutnya, polis turut merakam percakapan pengadu serta pegawai yang terlibat dalam operasi tangkapan dan rampasan bagi mendapatkan keterangan berkaitan kejadian itu.
“Suspek kini masih menerima rawatan di hospital dan pihak polis meneruskan tindakan siasatan dengan mengambil kira keadaan kesihatannya serta tertakluk kepada nasihat dan penilaian pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan diteruskan dengan memastikan semua prosedur undang-undang yang berkuat kuasa dipatuhi.
Katanya, setiap keterangan dan bukti berkaitan diteliti bagi memastikan siasatan dijalankan secara profesional, teliti dan menyeluruh sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan fakta yang diperoleh dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tegasnya.
Dalam pada itu, Saifullizan mengingatkan orang ramai supaya menghormati privasi semua pihak, khususnya mangsa dan pelajar yang terlibat, dengan tidak menyebarkan gambar, identiti atau maklumat peribadi yang boleh menyebabkan mereka dikenal pasti.
Beliau turut menekankan kepentingan menjaga kebajikan semua pihak yang terlibat, terutama individu bawah umur, sepanjang siasatan dijalankan.
Terdahulu, pada 21 Oktober, seorang guru wanita dilaporkan cedera dalam kejadian membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai membawa objek tajam ke sebuah sekolah swasta di Kuching.





