KUALA LUMPUR: Jutawan Filipina Frank Lao, individu yang mempunyai francais restoran paling terkenal di Filipina iaitu Choi Garden dan Gloria Maris mengembangkan lagi portfolionya dengan melabur dalam jenama kopi Malaysia berasaskan teknologi, ZUS Coffee.
Zus Coffee merupakan jenama kopi tempatan yang berkembang pesat di Malaysia dengan model perniagaan inovatif, berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan serta kafe moden ‘insta-worthy’ ini dilengkapi dengan aplikasi pesanan dan penghantaran.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Choi Garden, Janica Lao, pihaknya telah membeli saham sebanyak 35 peratus dalam ZUS Coffee.
“Choi Garden berhasrat untuk berkembang di Filipina dan ZUS Coffee merupakan integrasi yang sesuai bagi merealisasikan perancangan kami.
“Kami juga ingin memperkenalkan ZUS Coffee kepada warga Filipina walaupun ZUS Coffee sendiri tidak mempunyai niat untuk membuka francais di sana.
“Tetapi, disebabkan perkembangan ZUS Coffee di Malaysia yang berlaku dengan sangat pantas iaitu dalam masa tiga tahun ini, mereka beriltizam untuk memenuhi pasaran di sini dengan pelbagai perisa tempatan, kami percaya mereka akan melakukan perkara yang sama di pasaran Filipina,” katanya.
Jelas Janica, pada tahun 2020, Frank Lao pernah membeli restoran makanan laut iaitu Gloria Maris dan Hai Kang di Greenhills.
Manakala Janica menerajui kumpulan Choi Garden selepas berjaya melancarkan restoran Sepanyol Perro Chikko, The Susu Boba Girl dam Beard Papa’s.
Sementara itu, Pengasas bersama ZUS Coffee, Ian Chua berasa teruja untuk memulakan projek baharu bersama pihak Choi Garden.
“Kami amat berbangga kerana kopi kami mendapat keyakinan daripada ahli perniagaan terkenal seperti Frank Lao yang sudi melabur dalam ZUS Coffee.
“Dengan pelaburan yang dilakukan oleh Choi Garden, kami amat berterima kasih kepada mereka kerana ini merupakan masa yang sesuai untuk kami mengembangkan syarikat ini terutamanya membawa ZUS Coffee ke Filipina,” jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, ZUS Coffee menawarkan kopi istimewa yang menggunakan bahan-bahan serta teknologi berkualiti tinggi.
“Kami turut menggunakan model perniagaan yang inovatif dan menyediakan kopi istimewa tersebut dengan harga yang berpatutan kepada orang ramai.
“Dalam masa sama, kami juga sedang berusaha untuk meningkatkan bilangan pengguna menggunakan aplikasi melalui pelbagai bentuk promosi.
“Setakat 20 Mac 2023, lebih 1.5 juta individu telah memuat turun aplikasi ini dan pada masa ini seramai 800,000 pengguna aktif setiap bulan,” ujarnya.
Katanya, ZUS Coffee mula membuka kedai di Malaysia pada tahun 2019 dan kini memiliki 197 cawangan di seluruh negara dengan penjualan kopi mencecah 30 juta cawan.
“Syarikat kami juga ingin membuka 150 cawangan di kawasan strategik dalam Malaysia pada tahun ini.
“Kami juga berterima kasih kepada ZUSsies dan pekerja tempatan atas pencapaian yang dimiliki sehingga ke hari ini dan kami mendapati semakin ramai meminati kopi kami kerana permintaan tinggi untuk membuka lebih banyak cawangan.
“Bukan itu sahaja, kami akan mempelbagaikan menu makanan dan memperkenalkan makanan panas untuk memenuhi selera pelanggan,” tambahnya lagi.
Majlis menandatangani perjanjian itu telah dilakukan oleh Janica Lao bersama Ian Chua, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengasas bersama ZUS Coffee, Terence Ho dan Ketua Pengarah Operasi Zus Coffee, Venon Tian.




