DIANGGARKAN sekitar 500 spesies kelulut terdapat di seluruh dunia. Antaranya Geniotrigona thoracica, Heterotrigona itama, Lepidotrigona terminata, Tetragonula laeviceps dan Tetrigona apicalis.
Serangga unik yang menghasilkan madu ini boleh didapati di sebahagian besar kawasan tropika dunia, seperti Australia, Afrika, Asia tenggara termasuk Malaysia.
Disenaraikan sebagai makanan berkhasiat tinggi oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), ia juga boleh diproses menjadi sabun, krim muka di samping menghasilkan produk hiliran seperti madu kelulut dan propolis.
Secara purata, satu koloni kelulut boleh dituai sebanyak lapan kali setahun dengan hasil 0.5 kilogram sekali tuaian pada harga RM120 hingga RM150 sekilogram.
Memetik Harian Metro, Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu Prof Dr Nur Azura Sanusi berkata, industri ternakan kelulut di Malaysia berpotensi mencapai anggaran jualan maksimum sebanyak RM3.03 bilion setahun sekiranya industri terbabit terus dikembangkan dan dimajukan.
Menurutnya, jumlah itu berdasarkan anggaran pengambilan madu kelulut oleh setiap rakyat Malaysia iaitu sebanyak 330 gram dalam tempoh setahun.
Ketika ini kata Nur Azura, jumlah pasaran yang sudah dicapai dalam industri kelulut negara hanya RM33.6 juta, sedangkan potensi pasaran yang boleh diteroka sebenarnya jauh lebih tinggi iaitu RM67.2 juta.
Di Sarawak, pengusaha yang terlibat dalam industri ini dilaporkan mampu menghasilkan kira-kira 90 tan metrik madu dengan nilai jualan mencecah RM13 juta setahun – satu angka luar biasa bagi produk tradisi yang sebelum ini dianggap kurang penting.
Dalam pada itu, sebahagian besar pengusaha kelulut Sarawak datangnya dari Miri, Mukah, Kuching, Serian, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah yang kebanyakannya memelihara dan mengeluarkan madu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengakui industri penternakan lebah dan pengeluaran madu kelulut berpotensi dikembangkan.
Ia ditambah dengan kelebihan Sarawak yang mempunyai alam semula jadi yang masih terjaga. Dalam diam, industri kelulut memberi sumbangan besar kepada industri pertanian negara apabila jumlahnya menjangkau RM60 juta dan lebih menarik apabila jumlah itu dijangka meningkat setiap tahun.
Peningkatan permintaan pasaran yang tidak pernah surut menjadikan industri penternakan kelulut amat berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan dan menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat khususnya pengusaha kelulut.
Selain itu, pemeliharaan lebah kelulut di kawasan pertanian dengan pendebu-ngaan semula jadi amat penting dalam pemuliharaan ekosistem, sekali gus menggalak perbiakan serangga ini.
Mengambil contoh kejayaan penternak kelulut di Bukit Kinyau Tanjung Manis, mereka mampu menghasilkan madu yang berkualiti melalui pendekatan tersendiri, antaranya menghindari pembakaran terbuka dan tanam pokok bunga.
Itu sebahagian syarat penting untuk memelihara kelulut agar madunya sentiasa berkualiti dan tahan lama.
Namun bagi penternak kelulut Bukit Kinyau, mereka cukup bertuah kerana persekitaran semula jadi kawasan itu ditumbuhi pokok akasia, gelam dan gelunggang yang menjadi kegemaran serangga berkenaan.
Malah suasana tenang dan bersih perkampungan yang terletak sekitar tujuh kilometer dari Sarikei itu juga menjadi tarikan utama kelulut untuk membiak.
Walaupun sebahagian besar madu kelulut yang dihasilkan di kawasan itu untuk kegunaan sendiri namun tetap dipasarkan jika ada permintaan.
Alam semula jadi kawasan tersebut bagaikan satu anugerah kerana mereka tidak perlu menanam terlalu banyak pokok bunga.
Secara keseluruhannya, industri yang agak mencabar ini boleh diterokai oleh sesiapa sahaja asalkan ada kesungguhan dan minat.
Bagaimanapun, ia tetap memerlukan suntikan antaranya bantuan daripada jabatan dan agensi kerajaan kepada pengusaha termasuk kursus dan bimbingan.
Sumber foto: Bernama