KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) menubuhkan sebuah unit khas berkaitan kesaksamaan gender bagi merapatkan jurang jantina di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penubuhan unit tersebut pada awal tahun ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam menangani isu kesaksamaan gender, khususnya dalam usaha memperkasa golongan wanita di Sarawak.
“Sudah tiba masanya untuk kami merasmikan penubuhan unit tersebut dengan struktur yang lebih teratur dan sistematik,” katanya semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (IWD) 2025 di Hotel Imperial, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan mencari rakan strategik serta pihak yang bersedia untuk bekerjasama.
Dalam usaha membina kesedaran sejak peringkat awal, Fatimah turut memaklumkan bahawa pendidikan berkaitan nilai kesamarataan akan diperkenalkan di peringkat prasekolah.
“Tidak kira lelaki mahupun perempuan, semua wajar diberi peluang yang sama dalam pendidikan, akses kepada perkhidmatan kesihatan, bantuan kebajikan serta hak untuk menikmati kehidupan yang sejahtera,” ujarnya.

