ARTIKEL

On Isa, 54 bersama isterinya Zuridah Alias, 47, menunjukkan produk keluaran mereka ketika temu bual bersama BERNAMA di kilang yang terletak di Taman Salak Jaya, KL baru-baru ini.

K-drama cetus inspirasi hasilan “IdaOn Sos Korea’

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Bermula dengan menonton drama Korea (K-drama), tercetus idea untuk menghasilkan sos Korea halal ‘IdaOn Sos Korea’ yang diubah suai mengikut cita rasa Malaysia.

On Isa, 54, pemilik IdaOn Trading, berkata idea timbul ketika menonton drama bersiri ‘Itaewon Class’ yang mengisahkan seorang anak muda membuka restoran dan menghadapi pelbagai halangan ketika menguruskan perniagaannya.

On Isa (dua kiri) melihat cili-cili yang dipilih bagi memastikan kualiti terbaik bagi pemprosesan cili.

“Sepanjang menonton drama itu, banyak motivasi, inspirasi dan idea tercetus memandangkan perniagaan dalam drama itu mirip dengan perjalanan perniagaan saya dalam menghasilkan pelbagai sos,” katanya ketika ditemui BERNAMA di kilang miliknya di Taman Salak Jaya di sini.

On, yang pernah mengusahakan restoran sebelum ini, membuat keputusan bertukar angin pada 2018 dengan mengusahakan pelbagai produk, termasuk sos cili, cuka, sos tiram, sos cili hijau bersama isteri dan dua anaknya, yang berusia 24 dan 22 tahun.

Katanya, sos Korea dengan nama ‘IdaOn Sos Korea’, iaitu gabungan namanya dan isteri itu, dibuat dua minggu sekali dan sebanyak 200 hingga 300 botol dihasilkan untuk setiap kali pengeluaran bagi memenuhi tempahan yang dibuat secara dalam talian di platform e-dagang.

Baca lain  Bantu wanita urus perniagaan

“Alhamdulillah setelah hampir tiga tahun sos Korea berada di pasaran kecil, lebih 10,000 sudah terjual.

“Mungkin margin ini tidaklah tinggi kerana proses pengeluaran hanya dilaksanakan oleh saya, isteri dan dua orang anak kami sahaja, jadi penghasilan agak terhad,” katanya.

On percaya sos Korea yang dihasilkan mampu menguasai pasaran kerana tidak banyak perasa makanan itu yang dihasilkan dalam negara adalah halal kerana membuat sos Korea yang sebenar memerlukan proses fermentasi bertahun-tahun.

Namun, katanya, sos buatannya dilakukan dalam tempoh dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan mempunyai logo daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Hingga kini kami mempunyai pelanggan dari setiap negeri. Di awal pengeluaran, sos ini mendapat sambutan daripada negeri-negeri di pantai timur dan sekarang pasaran telah memasuki kawasan utara tanah air dan dalam masa sama permintaan dari negeri-negeri di selatan, barat, Sabah serta Sarawak terus meningkat.

“Setakat ini, pembelian sos banyak dibuat oleh peniaga kecil yang saya percaya mereka gunakan bahan tersebut untuk menghasilkan ayam goreng Korea yang menjadi permintaan tinggi buat masa ini dan ada (peniaga) menggunakannya sebagai bahan asas dalam masakan,” katanya.

Baca lain  Peluang usahawan perluas perniagaan, pemasaran

Menceritakan penglibatan dalam pembuatan sos Korea itu, On berkata selepas gerai makanan mereka ditutup pada 2018, beliau terfikir untuk menghasilkan satu bahan asas yang menjadi ramuan dalam masakan, iaitu sos cili, cuka, sos tiram dan beberapa bahan perisa makanan lain.

Bagaimanapun, katanya, selepas beberapa tahun penghasilan bahan berkenaan, beliau mengalami masalah dan hanya mampu bertahan untuk menghasilkan bahan perasa yang berasaskan sos sahaja.

Menurut On, beliau dan keluarga juga pernah mengalami krisis perniagaan namun berkat kesabaran dan bantuan diperoleh daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), beliau bangkit meneruskan penghasilan produk berkenaan.

“Apabila menjadi seorang usahawan, kita perlu berfikir di luar kotak.

“Kebetulan anak perempuan saya membawa kami sekeluarga makan di sebuah restoran Korea dan daripada situ, saya terfikir untuk menghasilkan sos Korea, ditambah dengan drama Korea yang menjadi tontonan menguatkan lagi idea ini,” katanya. – Nur Afiradina Arshad (BERNAMA)

NOTIS TENDER

BERITA LAIN

Sarawak dapat peruntukan RM1.5 bilion dari KKDW

SARIKEI: Sarawak terus mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan apabila menerima peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM1.5 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

BERITA TERBARU

Kuching, Sri Pahang kongsi mata

KUCHING: Hasrat Kuching City FC (KC FC) untuk meraih kemenangan di laman sendiri tidak kesampaian selepas sekadar seri menentang pasukan Sri Pahang FC dalam perlawanan